Gagal seludup 480kg daging sejuk beku ke negara jiran

Batalion 7 Pasukan PGA Kuantan menahan dua lelaki dan merampas 480kg daging sejuk beku yang mahu diseludup ke negara jiran dalam serbuan di pangkalan haram Syed Agil, Rantau Panjang pada Sabtu.
Batalion 7 Pasukan PGA Kuantan menahan dua lelaki dan merampas 480kg daging sejuk beku yang mahu diseludup ke negara jiran dalam serbuan di pangkalan haram Syed Agil, Rantau Panjang pada Sabtu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan menggagalkan cubaan menyeludup daging sejuk beku ke negara jiran selepas menahan dua lelaki dan merampas 480 kilogram (kg) daging berkenaan di pangkalan haram Syed Agil di sini pada Sabtu.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, pihaknya merampas 16 kotak daging sejuk beku dalam serbuan jam 6.30 petang itu.

Menurutnya, semasa melakukan rondaan, anggota PGA sebelum itu ternampak aktiviti memindahkan kotak-kotak dari sebuah lori ke dalam sebuah stor di pangkalan haram tersebut.

"Melihat perkara tersebut, anggota bertugas telah menghampiri lori berkenaan untuk membuat pemeriksaan.

"Hasilnya, kita telah menahan dua lelaki berusia 26 dan 55 tahun yang berada di lokasi semasa serbuan dijalankan untuk membantu siasatan.

"Sambil disaksikan oleh kedua-dua lelaki itu, anggota PGA telah membuat pemeriksaan di bahagian belakang lori dan menjumpai beberapa kotak mengandungi daging sejuk beku," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas dokumen yang dibawa oleh kedua-dua lelaki itu mendapati mereka tidak mempunyai surat pelepasan daripada Kastam untuk daging sejuk beku berkenaan.

Katanya, kedua-dua lelaki tersebut bersama barangan rampasan termasuk kenderaan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori yang digunakan untuk aktiviti itu dianggarkan berjumlah RM57,484," katanya.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.