Pelajar OKU gembira terima tawaran ke UUM

Haim Hilman (kiri) menyerahkan surat tawaran kemasukan ke UUM kepada Nek Muhammad Sofwan Najim di rumahnya di Taman Nuri pada Khamis.
Haim Hilman (kiri) menyerahkan surat tawaran kemasukan ke UUM kepada Nek Muhammad Sofwan Najim di rumahnya di Taman Nuri pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pelajar yang mengalami masalah saraf sehingga menyebabkan kaki kanannya dipotong gembira kerana dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti Utara Malaysia (UUM).

Nek Muhammad Sofwan Najim Nek Ali, 20, berkata, tiada kata yang mampu diungkapkan apabila berjaya mengikuti pengajian dalam kursu diminatinya iaitu Sarjana Muda Undang-undang

Katanya, dia berjanji untuk tidak mensia-siakan peluang itu dan akan berusaha membahagiakan ibu bapanya.

"Saya tidak sabar untuk masuk ke kampus tambahan pula saya sudah lengkap dua dos vaksin. Saya akan belajar bersungguh - sungguh untuk mengikut jejak bapa menjadi peguam syariah," katanya ketika menerima surat tawaran daripada UUM di kediamannya di sini pada Khamis.

Menurutnya, dia juga tidak menganggap kekurangan dimilikinya sebagai satu halangan sebaliknya bersemangat untuk belajar dan bersukan walaupun dia merupakan orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, anak seorang buruh Azlina Mohd Lokman, 20 turut menzahirkan rasa syukur apabila berjaya menempatkan diri di UUM bagi mengikuti kursus Sarjana Muda Perbankan.

"UUM merupakan universiti pilihan pertama kerana saya melihat universiti ini sangat berprestij dan mampu membantu saya mencapai cita-cita sebagai pegawai bank," katanya.

Anak ketujuh dari 13 beradik itu berkata, kejayaan menjejakkan kaki ke menara gading itu adalah satu peluang keemasan untuknya mengejar cita-cita dan membalas pengorbanan ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, pihaknya mengambil keputusan turun padang bagi menyampaikan surat tawaran kepada dua pelajar berkenaan yang merupakan kategori OKU dan keluarga B40.

"Saya kagum dengan semangat juang kedua pelajar tersebut untuk belajar demi mengubah nasib keluarga masing-masing, selain berasa bangga kerana mereka memilih UUM untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

“Insya-ALLAH, akan bantu sebaik mungkin agar cita-cita anak muda seperti Nek Muhammad Sofwan dan Azlina untuk menjadi seorang yang hebat dalam kerjaya masing-masing akan tercapai suatu hari nanti," katanya selepas menyantuni pelajar tersebut di rumah mereka.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD), Profesor Madya Dr. Rajwani Md. Zain; Pengarah Komunikasi Korporat UUM, Mohd Fairus Abdul Majid dan pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar.