Kerangka keselamatan ekuiti merujuk jualan saham syarikat Bumiputera

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

CADANGAN memperkenalkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti adalah merujuk kepada penjualan saham atau syarikat oleh agensi mandat Bumiputera sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, di bawah kerangka jaringan keselamatan ekuiti, penjualan tersebut ditawarkan kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera berkelayakan.

Katanya, agensi mandat Bumiputera itu terdiri daripada institusi kepentingan Bumiputera dan agensi amanah Bumiputera.

“Bagi institusi kepentingan Bumiputera antaranya melibatkan Permodalan Nasional Berhad, Lembaga Tabung Haji (TH), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM).

“Bagi agensi amanah Bumiputera membabitkan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), Perbadanan Nasional Berhad (PNS), VentureTECH Sdn. Bhd., Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB),” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Isnin, ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memperkenalkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti bagi memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera yang mampan.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, pengumuman berkenaan telah menimbulkan beberapa tafsiran berbeza.

Menurutnya, perkara itu juga dibangkitkan oleh beberapa pihak sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah Bumiputera akan mengambil hak kaum lain.

Artikel Berkaitan:

“Cadangan penjualan ini tidak melibatkan saham atau syarikat yang akan dijual oleh individu Bumiputera, bukan Bumiputera atau syarikat asing.

“Sebaliknya, pengumuman ini hanya melibatkan penjualan saham atau syarikat Bumiputera oleh agensi mandat Bumiputera,” kata beliau lagi.

Tambahnya, cadangan tersebut tidak akan mengambil hak kepentingan kaum lain.

“Pada tahun 2019, pemilikan Bumiputera dalam ekuiti korporat berasaskan nilai pasaran hanya 17.2 peratus.

“Pengumuman ini dibuat untuk memastikan pemilikan yang ada akan kekal dalam pegangan Bumiputera dan tidak terhakis,” katanya.