Salakan anjing penjaga kebun isyarat ada harimau

Mumtaz menunjukkan kedudukan harimau berkenaan yang dilihat pada Jumaat.
Mumtaz menunjukkan kedudukan harimau berkenaan yang dilihat pada Jumaat.
A
A
A

KUALA PILAH- Salakan anjing yang dipelihara bagi menjaga kebun dan ternakan membawa petanda kehadiran dua ekor harimau kumbang di sebuah kediaman di Kampung Batu Condong, Juasseh Tengah di sini pada Jumaat.

Kejadian pada jam 7.30 malam itu disedari penghuninya sebelum masing-masing menyuluh ke arah kebun getah yang berada di sebelah rumah dan ternampak harimau berkenaan kira-kira 100 meter dari kediaman mereka.

Menurut Mumtaz Ahmad, 36, dia sekeluarga datang ke rumah ibu saudaranya, Shahizan Rais, 60, untuk menghantar kuih, bagaimanapun dikejutkan dengan kehadiran haiwan berkenaan.

"Lebih kurang 15 minit juga haiwan itu berada di situ sebelum perlahan-lahan beredar dan keadaan itu benar-benar mencemaskan kerana kami melihatnya dengan jelas ketika itu.

"Kejadian ini bagaimana pun bukan yang pertama berlaku susulan keluarga ibu saudara pernah melihatnya beberapa kali sebelum ini, namun hanya seekor," kata Mumtaz ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Menurut Mumtaz, sebanyak lima ekor kambing peliharaan mereka lesap sejak Mac lalu dan terkini dua ekor kambing turut hilang sekitar dua minggu lepas, malah kesemuanya dipercayai dibaham harimau tersebut.

Dua ekor harimau kumbang itu berada kira-kira 100 meter dari rumah.
Dua ekor harimau kumbang itu berada kira-kira 100 meter dari rumah.

"Kami bimbang akan keselamatan keluarga ibu saudara tambahan ada anak kecil di sini termasuk binatang ternakan kerana sebelum ini haiwan itu tidak datang sehampir semalam.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun kediaman kami berpagar, keupayaan haiwan itu tidak boleh dijangka sama sekali," katanya yang telah membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan.

Sinar Harian difahamkan, keluarga berkenaan menternak kambing, lembu dan ayam malahan kandang binatang itu turut berada dalam kebun sama iaitu bersebelahan kediaman mereka.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Makluman awal, pengadu memaklumkan kehilangan kambing dan ayam miliknya, namun setakat ini pihak Perhilitan tidak boleh mengesahkan lagi sama ada ia berpunca daripada serangan harimau kumbang.

"Bagaimana pun, kami telah memasang perangkap kamera perangkap bagi merakam kehadiran haiwan itu dan mengumpul maklumat berkaitan," katanya.