Projek rintis ops rabies: Tiga kertas siasatan difailkan

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah memfailkan tiga kertas siasatan terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu di media sosial semasa fasa pertama projek rintis operasi rabies untuk memvaksinkan anjing dan menghapuskan anjing liar di Daerah Lundu dekat sini.

Pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata beliau telah dimaklumkan terdapat beberapa isu yang dibangkitkan dalam media sosial mengenai operasi empat hari yang bermula 1 Mac itu telah menceroboh kawasan persendirian.

“Kami dapati, terdapat banyak tuduhan di media sosial dan ancaman yang dibuat terhadap kakitangan kami di lapangan.

Oleh sebab itu, saya ingin menasihatkan pasukan terbabit memastikan prosedur operasi yang dijalankan itu diikuti sepenuhnya,” kata Uggah, yang juga Timbalan Ketua Menteri, dalam satu kenyataan hari ini mengenai kajian post mortem atas projek rintis tersebut.

Katanya, populasi anjing di Lundu sebelum operasi tersebut dianggarkan sejumlah 2,794 ekor dan dalam operasi empat hari itu, 2,559 ekor anjing atau 91 peratus telah divaksinkan, manakala 672 eokr anjing liar telah dihapuskan.

“Secara dasarnya, operasi itu berjaya, terutamanya dalam mencapai objektifnya; untuk memvaksinkan hampir 100 peratus populasi anjing (haiwan peliharaan) dan menghapuskan anjing liar,” katanya.

Uggah berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak telah menghantar lima pasukan petugas ke daerah Lundu untuk program vaksinasi dan pengawasan selepas operasi di mana kolar anjing juga dipasangkan sebagai tanda rasmi selain pemberian sijil vaksinasi.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) operasi ini adalah bekerjasama dengan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat di Lundu, yang membantu dalam mengenalpasti anjing liar untuk dihapuskan.

Artikel Berkaitan:

“Beberapa kelemahan juga dikenal pasti dan kami telah membincangkannya secara terperinci memastikan hasil operasi yang lebih baik dalam fasa seterusnya,” kata Uggah yang sebelum itu mempengerusikan mesyuarat mengenai kajian pos mortem di Dewan Majlis Komuniti Lundu.

Sambil mengucapkan terima kasih atas kerjasama orang ramai dalam usaha membasmi rabies di Sarawak, Uggah berkata pihaknya akan mengadakan vaksinsi besar-besaran pada 9 Mac di Dewan Persatuan Masyarakat Stampin, Kampung Stutong Baru di sini. – Bernama