Cheng Hoe hanya bawa 22 pemain Harimau Malaya

Pemain-pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang Jumaat. - Foto Football Association of Malaysia
Pemain-pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang Jumaat. - Foto Football Association of Malaysia
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan pemain Terengganu FC (TFC), Shahrul Nizam Ros Hasni tidak hadir melaporkan diri bersama skuad Harimau Malaya pada Jumaat.

"Pemain Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar yang turut hadir melapor diri, hari ini terpaksa digugurkan selepas pengesahan kecederaannya manakala pemain Terengganu FC, Shahrul Nizam Ros Hasni pula tidak hadir untuk melaporkan diri," ujar FAM dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Untuk rekod, FAM pada Khamis mengumumkan Shahrul Nizam bersama pemain Kedah Darul Aman (KDA FC), Muhammad Ariff Farhan Md Isa dipanggil menggantikan tempat Dion Cools dan Syahmi Safari yang mengalami kecederaan bagi menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe turun menjalani latihan pertama di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang Jumaat sebelum berlepas ke Amman, Jordan, awal pagi esok bagi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan.

Perkembangan terkini itu menyaksikan hanya 22 pemain berada dalam senarai akhir untuk dua perlawanan tersebut termasuk dua pemain yang berpangkalan di luar negara, Dominic Tan dan Luqman Hakim Shamsudin yang akan menyertai pasukan setibanya di Amman.

Harimau Malaya bakal menentang Jordan pada 6 Oktober diikuti Uzbekistan pada 9 Oktober sebagai persediaan bagi saingan Piala Suzuki AFF 2020 pada 5 Disember depan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Indonesia, Laos dan Kemboja dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 yang akan berlangsung di Singapura.

Artikel Berkaitan: