Imaret beri bantuan rawatan buat Rohingya

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret) menghantar sepasukan sukarelawan perubatan ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri daerah Perlis di Kangar, bagi memberikan rawatan perubatan kepada pelarian Rohingya yang ditemui di pesisir pantai Perlis, Jumaat lepas.

Ketua Koordinator Imaret, Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata pasukan Imaret dari Pulau Pinang dan Perak yang diketuai Dr Ahmad Zaimi Abdul Latif tiba di kompleks itu pada kira-kira 10.30 pagi sebelum memulakan sesi rawatan kepada kelompok pelarian terlibat.

Beliau berkata ia turut disertai EXCO Imaret Dr S. Jayaseelan, Pakar Perubatan Kecemasan Dr Sumaiyah Syed Ibrahim, Pegawai Farmasi Zakuan Kamil Khazali dan seorang penterjemah Rohingya.

“Kesemua 35 pelarian Rohingya termasuk sembilan kanak-kanak yang menerima rawatan berkenaan berada dalam keadaan baik dengan sembilan daripada mereka menunjukkan kesan trauma psikososial.

“Penilaian tim Imaret mendapati tiada masalah kesihatan serius dalam kalangan kesemua pelarian manakala mereka yang trauma diberikan rawatan awal psikososial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Ahmad Munawwar berkata difahamkan pelarian itu menempuh perjalanan selama 15 hari dari Myanmar sebelum tiba di Malaysia, dan kini kesemua mereka menerima layanan baik, dengan kebajikan mereka dijaga pihak Jabatan Imigresen.

“Tim Imaret juga menerima kerjasama baik dari pihak Jabatan Imigresen sehingga sesi rawatan kepada pelarian Rohingya tamat pada pukul 3.15 petang tadi,” katanya.

Difahamkan, pasukan Imaret adalah badan bukan kerajaan (NGO) pertama yang dibenarkan ke kompleks berkenaan bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas pelarían itu.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat lepas, seramai 35 pelarian Rohingya termasuk sembilan kanak-kanak mendarat di persisir pantai Sungai Belati, Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis. - Bernama