Perak benarkan kuliah subuh, duha bermula Sabtu

Hebahan kebenaran mengadakan kuliah subuh dan duha yang dikongsi JAIPk di laman Facebook rasmi pada Jumaat.
Hebahan kebenaran mengadakan kuliah subuh dan duha yang dikongsi JAIPk di laman Facebook rasmi pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Semua masjid, surau dan surau diri Jumaat di Perak dibenarkan mengadakan kuliah subuh dan duha, berkuat kuasa Sabtu ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kebenaran aktiviti berkenaan bagaimanapun terhad kepada ahli kariah sahaja.

Menurutnya, pengurusan masjid dan surau perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuklah tempoh kuliah hanya boleh diadakan tidak lebih 45 minit.

"Bagi masjid dan surau yang berada dalam kawasan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan), semua aktiviti ini adalah tidak dibenarkan sama sekali," katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.

Beliau mengingatkan semua pihak supaya mematuhi pekeliling yang dikeluarkan mengenai kebenaran itu sebagai langkah pencegahan demi memastikan kesihatan awam.

"Mereka juga perlu mematuhi garis panduan sedia ada bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19," katanya.

Sebelum ini tular pekeliling yang dikeluarkan JAIPk kepada pihak pengurusan masjid, surau diri Jumaat dan surau mengenai kebenaran mengadakan kuliah subuh dan duha.

Artikel Berkaitan: