Sosma, Akta Perhimpunan Aman dibahas di Parlimen

Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 dijangka dibahaskan pada sidang Parlimen akan datang, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata beberapa perubahan sedang dilakukan terhadap kedua-dua akta tersebut, sebelum diluluskan Kabinet untuk dibawa ke Parlimen.

“Kita mungkin mempunyai satu atau dua akta (Sosma dan PAA 2012 untuk dibahaskan di Parlimen), tetapi kita perlu tunggu keputusan akhir Kabinet,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan tujuh anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria bagi melihat penemuan sejumlah kubur dan beberapa kem transit di Wang Kelian, Perlis.

Ditanya sama ada kedua-dua akta itu akan dimansuhkan atau dipinda, Muhyiddin berkata: “Kita tunggu pengumuman Kabinet mengenai perkara itu.”

Dewan Rakyat akan bersidang selama 20 hari, dari 11 Mac hingga 11 April ini.

Tahun lepas, Muhyiddin dilaporkan berkata kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas dan jawatankuasa teknikal untuk mengkaji secara terperinci peruntukan undang-undang dalam Sosma, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA). - Bernama

Artikel Berkaitan: