Sedania As Salam kerjasama dengan Innova, lebar sayap ke Turki

No Image Caption
A
A
A

SEDANIA As Salam Capital Sdn Bhd (SASC) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat teknologi kewangan (fintech) Turki, Innova Yonetim Danismanlik Ve Bilisim Teknolojileri Ltd Sti (Innova).

SASC dalam satu kenyataan berkata, di bawah perjanjian MoU itu, pihak terbabit akan bekerjasama dalam projek-projek yang akan datang, membuka peluang pasaran baharu dan mempromosikan perkhidmatan fintech inovatif di Turki.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Nisa Ismail berkata, perkongsian itu menandakan kejayaan besar bagi syarikat kerana ia merupakan usaha pertamanya memasuki pasaran antarabangsa.

"Kami dihubungi oleh Innova untuk sama-sama berganding bahu mendorong pertumbuhan dan pengembangan sektor kewangan Islam di Turki.

"Ini mengesahkan kemampuan SASC dalam industri dan pada masa yang sama meningkatkan lagi strategi pertumbuhan kami," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beribu pejabat di Istanbul, Innova berpengkhususan dalam transformasi digital syarikat-syarikat di Turki, termasuk menyokong visi negara untuk menjadikan Istanbul hab kewangan bersepadu di Timur Tengah.

SASC berkata, elemen utama MoU adalah pengembangan portfolio berasaskan Tawarruq yang holistik dalam sektor perbankan Islam Turki, bermula dengan komoditi tradisional, diikuti oleh komoditi digital.

Konsep tawarruq pembiayaan dan pemprosesan kredit akan dilaksanakan sepenuhnya melalui platform digital yang ditubuhkan oleh SASC.

Artikel Berkaitan:

Menurut Fitch Ratings, aset perbankan Islam Turki mencatat pertumbuhan 54 peratus pada tahun 2020, melebihi pertumbuhan bank konvensional iaitu pada 36 peratus.

"Pakar industri mengunjurkan segmen perbankan Islam akan mengembang 25 peratus menjelang 2025.

"Selain itu, dengan meningkatnya sokongan daripada kerajaan Turki terhadap sistem perbankan Islam dan amalan fintech, SASC yakin bahawa ia boleh berkembang maju sebagai salah satu pemain penting fintech di rantau ini," kata syarikat itu. - Bernama