Malaysia-Brunei setuju tiada aktiviti di sempadan bersama

Dr Mahathir bersama Sultan Hassanal Bolkiah di Seri Perdana hari ini sempena lawatan kerja baginda ke Malaysia. - Foto Bernama
Dr Mahathir bersama Sultan Hassanal Bolkiah di Seri Perdana hari ini sempena lawatan kerja baginda ke Malaysia. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dan Brunei Darussalam bersetuju untuk tidak melakukan apa-apa aktiviti di kawasan penandaaan dan kajian sempadan tanah antara kedua-dua negara yang masih belum selesai.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas tamatnya Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Ke-22 antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah di sini hari ini, para pemimpin menyambut baik perkembangan positif yang dibuat oleh jawatankuasa teknikal bersama mengenai penandaaan dan kajian sempadan tanah.

"Para pemimpin mengucapkan tahniah kepada pasukan teknikal Malaysia dan Brunei Darussalam kerana menemui cara terbaru untuk mempercepatkan aktiviti penandaan dan kajian, terutamanya di kawasan keutamaan,” menurut kenyataan itu.

Pemimpin-pemimpin juga berharap Jawatankuasa Sempadan Tanah Malaysia-Brunei Darussalam dapat ditubuhkan secepat mungkin, yang akan membincangkan hasil penemuan jawatankuasa teknikal bersama, katanya.

“Pemimpin-pemimpin juga berpuas hati terhadap kemajuan berterusan PETRONAS dan PetroleumBRUNEI melalui kerjasama dalam Bidang Aturan Komersial (CAA) dan Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA).

"Kedua-dua pemimpin juga menggalakkan kedua-dua organisasi itu supaya terus bekerjasama untuk mengkomersialkan penemuan CAA seawal mungkin.

“Mereka juga mengambil perhatian mengenai kerjasama antara PETRONAS dan Sekretariat Unitisasi Kebangsaan Brunei di bawah Kumpulan Kerja Bersama Unitisasi Malaysia–Brunei Darussalam mengenai aktiviti berkaitan medan Kinabalu West NAG (KN) dan Maharajalela North Fields (MLJ); serta Gumusut/Kakap (GK) dan Geronggong/Jagus-East (GRG/JGE).

“Kedua-dua pemimpin juga menggalakkan para pegawai mereka untuk meneroka cara inovatif untuk memajukan kerjasama maritim dan mengalu-aklukan perbincangan yang sedang berlangsung antara pegawai mereka dalam bidang berkenaan dengan tujuan untuk mengadakan memorandum persefahaman mengenai kerjasama maritim,” menurut kenyataan bersama itu.

Artikel Berkaitan:

Pemimpin-pemimpin itu juga katanya, menyatakan kepuasan mengenai kemajuan berterusan dalam kerjasama perdagangan dan pelaburan, terutamanya dengan Sabah dan Sarawak serta menggalakkan lebih banyak sinergi dalam kerjasama ekonomi dan menggalakkan dalam bidang pengangkutan dan komunikasi, tenaga, pelancongan, pertanian, ternakan dan perikanan.

Dr Mahathir dan Sultan Hassanal Bolkiah juga, katanya, mengambil maklum mengenai penglibatan pegawai berkenaan terhadap isu-isu berkaitan kerjasama imigresen, termasuk Program Pengembara Kerap Brunei-Malaysia (BMFTP), yang memudahkan perjalanan antara kedua-dua negara serta meningkatkan hubungan antara rakyat, katanya.

Menurut kenyataan itu, Dr Mahathir dan Sultan Hasannal Bolkiah turut menekankan mengenai kepentingan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara terutama dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan dalam menghadapi cabaran dan ancaman keselamatan di rantau ini.

Sementara itu, Dr Mahathir berharap pegawai peringkat tertinggi dari Brunei menyertai Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawai 2019 (LIMA’19) yang akan berlangsung 26 hingga 30 Mac ini.

Kenyataan bersama itu juga menyatakan bahawa Dr Mahathir dan Sultan Hassanal Bolkiah bersetuju untuk mengadakan Perundingan Tahunan Pemimpin ke-23 di Brunei pada tahun depan.

Perundingan Tahunan Pemimpin Ke-22 itu berlangsung dalam suasana mesra dan konstruktif, menandakan hubungan erat dan istimewa antara kedua-dua negara.

"Mereka (pemimpin) mengesahkan komitmen mereka untuk terus meningkatkan kerjasama dalam bidang-bidang kepentingan bersama untuk faedah rakyat kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu lagi.- Bernama