Sasar lebih ramai usahawan komuniti: Shahidan

Shahidan. - Foto fail Bernama
Shahidan. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai usahawan komuniti daripada golongan B40, khususnya penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) bagi membantu golongan tersebut menjana pendapatan.

Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, hasrat itu akan dilaksanakan menerusi Program Usahawan Komuniti Kreatif - Seni Jahitan Kreatif Malaysia dengan melatih dan melahirkan 50 usahawan belia, ibu tunggal serta suri rumah yang juga penduduk perumahan itu.

‘’Peserta diberi kursus kemahiran menjahit dan seni kreatif, pemasaran dalam talian selain dibekalkan mesin dan peralatan menjahit melibatkan kos sekitar RM10,000 bagi menghasilkan produk seperti tote bag, pelitup muka dan soft toys,” katanya selepas meninjau program itu di PPR Kampung Muhibbah di sini pada Khamis.

Beliau berkata, beberapa peserta merekodkan peningkatan jualan dan menjana pendapatan tambahan sehingga RM2,000 sebulan dari kediaman sendiri untuk membantu menaik taraf kehidupan keluarga menerusi inisiatif bermula Mac lepas.

Shahidan berkata, pihaknya juga sedang merancang untuk mewujudkan sebuah pusat sehenti dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain seperti gerai makanan sebagai platform memasarkan produk tersebut kepada audiens lebih luas termasuk pelancong luar negara pada masa akan datang.

“Sekarang ini mereka memasarkan dari rumah dan secara dalam talian, tapi kalau kita ada pusat jualan yang lebih besar contohnya di sebuah dewan sudah pasti ia akan meningkatkan pemasaran mereka,” katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: