249 kakitangan MBSJ positif Covid-19

Noraini Roslan
Noraini Roslan
A
A
A

SUBANG JAYA - Sebanyak 249 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi tempoh sehingga 26 September lalu.

Datuk Bandar MBSJ, Noraini Roslan berkata, buat masa ini, terdapat lima kes Covid-19 melibatkan kakitangan MBSJ masih aktif dengan seorang daripadanya masih menerima rawatan di hospital manakala selebihnya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Noraini berkata, mengikut rekod, seramai 1,497 kakitangan MBSJ meliputi jumlah 99.01 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

"Seramai 1,476 kakitangan MBSJ meliputi jumlah 97.62 peratus lagi telah lengkap menerima dua dos vaksin," katanya ketika menyampaikan perutusan sewaktu Masyuarat Penuh MBSJ, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, kawasan Subang Jaya telah merekodkan sebanyak 70,237 kes positif Covid-19 bagi tempoh sehingga 26 September lalu.

"Walaupun masyarakat telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19, mereka diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Noraini berkata, MBSJ akan melaksanakan Kempen Jom Bayar Lesen Perniagaan dan Iklan Tahun 2022 bermula 1 Oktober ini sehingga 7 Januari tahun hadapan.

Beliau berkata, bagi memastikan kempen ini berjalan lancar, MBSJ turut memperluaskan perkhidmatan Jom Bayar Lesen MBSJ 2022 secara dalam talian dengan memperkenalkan pembaharuan pembayaran lesen tanpa log masuk menerusi pautan http://ezy.mbsj.gov.my.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, Borang Temujanji Jabatan Pelesenan melalui medium google form boleh digunakan untuk pelbagai saluran pertanyaan berkaitan isu pelesenan termasuk pembaharuan lesen ataupermit lain-lain kategori yang memerlukan semakan dan kelulusan jabatan terlebih dahulu," katanya.