Polis kenal pasti identiti pemandu lawan arus

Pemandu berusia 26 tahun (kiri) dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kes MPV dipandu secara melawan arus di KM 72 Jalan Klang-Teluk Intan, Sekinchan pada 17 September lalu.
Pemandu berusia 26 tahun (kiri) dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kes MPV dipandu secara melawan arus di KM 72 Jalan Klang-Teluk Intan, Sekinchan pada 17 September lalu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Identiti pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang memandu secara melawan arus di Kilometer 72 Jalan Klang-Teluk Intan, Sekinchan pada 17 September lalu sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pemandu berusia 26 tahun yang beralamat di Tali Air 7 Sungai Leman itu amat dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, Inspektor L Ramesh di talian 016-4935596 untuk tindakan lanjut.

"Orang awam juga boleh menghubungi talian hotline IPD Sabak Bernam 03-32245963," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Agus Salim berkata, pemandu terbabit mempunyai empat rekod jenayah narkotik sebelum ini bertindak melompat keluar daripada kenderaan dipandunya dalam keadaan masih bergerak hingga terbabas ke parit sebelah kiri jalan.

"Suspek berjaya melepaskan diri dan sehingga kini polis masih memburu suspek terbabit, manakala rakannya yang juga penumpang kenderaan sudah ditahan dalam kejadian itu bagi membantu siasatan," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis menemui 19 peket dadah jenis syabu selepas menahan seorang penumpang sebuah kenderaan MPV yang dipandu melawan arus di Kilometer 72 Jalan Klang-Teluk Intan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, hasil ujian urin terhadap penumpang lelaki itu positif methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini video berdurasi satu minit dua saat tular apabila sebuah MPV dikejar polis kerana dipandu melawan arus di Sekinchan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu lawan arus miliki empat rekod lampau dadah

Penumpang MPV dipandu lawan arus miliki syabu