Myanmar alami krisis kemanusiaan: PBB

No Image Caption
A
A
A

NEW YORK - Myanmar mengalami krisis kemanusiaan dengan kira-kira tiga juta rakyatnya memerlukan bantuan, menurut pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan pada Isnin.

Krisis kian memburuk dengan penularan Covid-19 dan peristiwa yang berkaitan penahanan pemimpin politik oleh tentera pada 1 Februari. Daripada tiga juta yang memerlukan bantuan kemanusiaan, dua juta telah dikenal pasti sejak 1 Februari, lapor Xinhua.

Menurut OCHA, keluarga paling rentan masih tinggal di kawasan bandar dan pinggir bandar, terutamanya di Yangon dan Mandalay, serta penduduk di tenggara dan barat Myanmar yang terkesan dengan konflik.

Lebih 220,000 orang terpaksa melarikan diri akibat pertempuran bersenjata dan keadaan yang tidak selamat. Kawasan paling terjejas termasuk Kachin, Shan, Chin, Kayah dan Kayin dan bandar berdekatan Sagaing dan Magway.

Meskipun beberapa keluarga telah kembali ke tempat asal mereka, ramai masih menjalani kehidupan tidak menentu, tanpa mempunyai akses perkhidmatan asas, termasuk tempat tinggal dan barangan bukan makanan.

Situasi di Rakhine masih tenang walaupun keadaannya mengerikan. Keselamatan makanan kian membimbangkan, dengan laporan kekurangan makanan di lokasi pelarian dan komuniti di Shan dan utara Rakhine.

Pandemik Covid-19 pula sehingga Jumaat, mencatatkan lebih 455,000 kes dan 17,000 kematian. Kemungkinan jumlahnya lebih tinggi berikutan kapasiti ujian yang rendah, menurut kenyataan itu.

Cabaran berterusan adalah untuk mendapatkan akses kepada golongan memerlukan berikutan faktor keselamatan, halangan birokrasi dan gangguan terhadap sistem perbankan/masalah kecairan tunai.

Artikel Berkaitan:

Sejak Mei, Program Makanan Sedunia telah membantu lebih 800,000 orang di kawasan pinggir bandar Yangon.

Rancangan kemanusiaan 2021 untuk Myanmar, memerlukan AS$276.5 juta, sebanyak 47 peratus telah dibiayai. - Bernama