X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Hukuman gantung ke atas warga Nigeria edar dadah kekal

A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Isnin mengekalkan sabitan dan hukuman seorang warga Nigeria yang dihukum gantung selepas didapati bersalah mengedar dadah dengan cara menyembunyikan 99 kapsul metamfetamina di dalam perutnya sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, setelah menimbangkan bukti secara keseluruhan, mahkamah sebulat suara yakin bahawa sabitan mengedar dadah terhadap Ikenna Emmanuel Chukwudulu adalah selamat.

Justeru, beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mary Lim Thiam Suan menolak rayuan Chukwudulu terhadap sabitan serta hukuman mati.

Chukwudulu, 44, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 November 2017 setelah didapati bersalah mengedar 1,085 gram metamfetamina di tandas Wad 6C Hospital Serdang antara 9.30 pagi 15 Jun 2012 dan 10. 55 pagi 16 Jun 2012.

Warga Nigeria itu juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 8 Januari 2019.

Mengikut fakta kes, polis telah menahan Chukwudulu di kawasan menuntut bagasi di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 14 Jun 2012 dan pemeriksaan badan serta beg yang dilakukan ke atasnya tidak menemukan apa-apa.

Chukwudulu kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk menjalani pemeriksaan sinar-X yang mengesahkan bahawa terdapat ‘benda asing’ di dalam badannya.

Selepas membuang air besar, sebanyak 99 kapsul mengandungi dadah telah diperoleh daripada Chukwudulu, yang merupakan peniaga pakaian wanita dan hiasan rambut.

Chukwudulu diwakili peguam Sukhaimi Mashud manakala Timbalan Pendakwa Raya How May Ling bagi pihak pendakwaan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!