X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

Tottenham terpukau persembahan bertenaga Arsenal

Pemain Arsenal, Takehiro Tomiyasu (kiri) cuba mengekang kemaraan Heung Min semasa perlawanan liga di Stadium Emirates. FOTO: EPA
A
A

PENJAGA gol Tottenham Hotspur, Hugo Lloris menyifatkan The Lilywhites menjadi mangsa kepada persembahan bertenaga Arsenal yang menyaksikan pelawat tewas 1-3 dalam derbi utara London saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates.

Kapten Tottenham tersebut sebelum itu bolos sebanyak tiga kali pada babak pertama hasil jaringan - Emile Smith Rowe, Pierre-Emerick Aubameyang dan Bukayo Saka.

"Sejujurnya, pemain-pemain Tottenham telah bersedia untuk perlawanan ini, namun kami hilang kawalan permainan terutamanya keseimbangan pada bahagian tengah pasukan.

"Kami gagal menguasai rentak permainan pada babak pertama menyebabkan tuan rumah begitu mudah membolos gawang Tottenham.

"Biarpun begitu saya puji karakter dalam kalangan pemain-pemain Tottenham yang kembali memberikan saingan pada separuh masa kedua.

"Ya, kami amat kecewa dan terkilan dengan kekalahan ini, namun pada ketika ini kita harus bersatu diikuti bangkit dalam perlawanan seterusnya," kata ujar Lloris.

Pada aksi berintensiti tinggi tersebut, The Gunners tampil garang apabila meledak tiga gol dalam babak pertama bermula dengan jaringan Emile Smith Rowe minit ke-12, Pierre-Emerick Aubameyang (27') dan Bukayo Saka (34').

Sementara The Lilywhites hanya berjaya mengurangkan defisit gol menerusi jaringan bintang sensasi Korea Selatan, Son Heung-min ketika perlawanan memasuki minit ke-79.

Keputusan di Emirates itu juga menyaksikan Espírito Santo yang melakukan debut sulung dalam derbi utara London tersebut melebarkan kekalahan apabila mencatat hanya satu kemenangan dalam 29 kunjungan ke Arsenal.

Pada masa sama, Lloris juga mengakui penambahbaikan perlu dilakukan kepada bahagian pertahanan kelab London tersebut.

"Apabila anda bolos tiga gol dalam tiga perlawanan terakhir liga secara berturut-turut, ia bermakna anda tidak dapat menyembunyikan masalah bahagian tersebut.

"Biarpun begitu, kami pemain bola sepak profesional dan saingan liga masih panjang. Apa yang perlu pada masa ini adalah semua pemain-pemain tenang sebelum bersiap sedia untuk perlawanan seterusnya," ujar Lloris.

Sementara itu, Nuno Espirito Santo mengakui pemain-pemain Tottenham perlu memulihkan mental dan fizikal masing-masing selepas kekalahan tersebut untuk perlawanan menentang Aston Villa yang mengejut gergasi EPL, Manchester United.

Malah menurut Espirito Santo, sebarang keputusan negatif yang diperolehi dari perlawanan tersebut akan memberikan tekanan kepada Tottenham yang merupakan pilihan mencabar kejuaraan musim ini.

"Ya, saya akui permainan Tottenham pada perlawanan ini tidak mencapai standard ditetapkan oleh penyokong-penyokong The Lilywhites.

"Kami akan memperbaiki segala kelemahan terdapat dalam perlawanan ini. Cumanya ingin saya tegaskan sekali lagi kejayaan hanya akan diperolehi hasil kerjasama," ujar Espirito Santo.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!