'Kenal pasti hanya warga emas berisiko dilarang memandu'

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mewujudkan mekanisme bagi mengenalpasti warga emas yang perlu menjalani pemeriksaan jika mahu menarik semula atau mengehadkan pengeluaran lesen memandu mereka.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia penting supaya hanya warga emas yang benar-benar berisiko terlibat kemalangan atau faktor kesihatan sahaja dilarang memandu.

“Jangan menyusahkan warga emas kita dengan pelbagai prosedur yang membebankan mereka.

“Mungkin diwujudkan juga mekanisme bagi mengenal pasti warga emas yang bagaimana perlu menjalani pemeriksaan. Sebagai contoh berdasarkan rekod kesalahan trafik untuk mengetahui sama ia disebabkan oleh faktor kesihatan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasmi beliau.

Pada Sabtu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberitahu, langkah untuk menarik semula atau mengehadkan pengeluaran lesen memandu bagi individu berusia 70 tahun ke atas akan menjadi pilihan terakhir selepas mereka didapati tiada keupayaan memandu.

Beliau berkata, penilaian terhadap seseorang pemandu yang hanya bersandarkan faktor umur atau merujuk kes terpencil dikhuatiri akan menimbulkan diskriminasi terhadap warga emas.

Justeru, ahli Parlimen Bagan Datuk itu bersetuju dengan kenyataan Ka Siong kerana banyak lagi faktor kemalangan jalan raya yang lebih wajar diberi perhatian termasuk memandu secara melulu.

Jelas Ahmad Zahid lagi, tindakan tegas terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh arak atau dadah juga sangat dialu-alukan.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, jika benar mahu diwajibkan pemeriksaan kesihatan perlulah dengan pendekatan yang tidak menyulitkan,” katanya.