X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Transgender perlu ubah penampilan jika mahu masuk masjid: Mufti

Golongan mukhannath atau transgender perlu mengubah penampilan diri ketika berada di tempat ibadah supaya mereka tidak kelihatan ganjil atau berbeza dengan majoriti jemaah lain.
A
A

GEORGETOWN - Golongan mukhannath atau transgender perlu mengubah penampilan diri ketika berada di tempat ibadah supaya mereka tidak kelihatan ganjil atau berbeza dengan majoriti jemaah lain.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, tindakan itu perlu dilakukan untuk mengelak rasa tidak senang dan janggal dalam kalangan jemaah lain.

Menurutnya, tiada jalan lain yang dilihat dapat menyelesaikan masalah bagi golongan itu berada di tempat ibadah melainkan menukar penampilan mereka.

"Kehadiran golongan mukhannath di masjid dengan penampilan diri mereka yang aneh dan janggal sudah tentu tidak disenangi serta meresahkan para jemaah yang lain.

"Kita amat bersimpati dan kasihan dengan golongan ini malah berharap agar mereka diterima oleh masyarakat umum. Bagaimanapun, mereka perlu berusaha menyesuaikan diri dengan budaya dan norma masyarakat biasa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Wan Salim lagi, golongan transgender dilihat telah menzalimi diri mereka sendiri apabila memilih cara serta gaya hidup yang bertentangan dengan hukum alam dan hukum agama.

"Memang dijangka apabila seseorang yang bertindak sedemikian akan menghadapi pelbagai kesukaran dalam kehidupannya terutama bila berinteraksi dengan orang ramai," katanya.

Dr Wan Salim berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berhubung kerajaan sedang meneliti untuk mengenakan larangan memasuki masjid terhadap golongan mukhannath atau transgender di Wilayah Persekutuan, seperti dilaksanakan di Perlis.

Ahmad Marzuk berkata, tindakan pihak berkuasa agama di Perlis yang mengenakan larangan itu adalah wajar bagi menjaga kesucian masjid dan menghindari kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Dr Wan Salim meminta Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan pengurusan masjid memainkan peranan masing-masing ketika berhadapan dengan isu tersebut.

"Jawatankuasa masjid yang dilantik oleh MAINPP adalah bertanggungjawab bagi memastikan segala urusan yang berkaitan dengan masjid dan qaryah berjalan lancar serta kondusif bagi para jemaah menunaikan ibadah dengan segala ketenteraman dan keselesaan.

"Pihak pengurusan masjid perlu menasihati golongan ini secara lembut dan berhemah supaya mereka menghormati kesucian rumah ibadah Islam ini dengan penampilan yang sesuai dan tidak lagi dipandang serong selain dianggap aneh," katanya.

Jelasnya, sekiranya golongan itu masih berdegil, pihak pengurusan masjid perlu bertegas dengan menghalang mereka untuk memasuki masjid.

"Ia melibatkan kepentingan umum yang mana agama Islam mengajar umatnya supaya mengutamakannya. Oleh itu, jika golongan mukhannath ini terus berdegil (menampilkan diri mereka sebagai perempuan) maka pihak pengurusan masjid tiada pilihan lain melainkan bertegas menghalang mereka daripada hadir ke masjid.

"Terserah kepada golongan tersebut untuk memilih apa yang mereka fikir baik untuk diri mereka sendiri," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!