Agong lawat Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di UK

Dalam lawatan selama dua jam itu, Al-Sultan Abdullah menerima persembahan taklimat mengenai program pembangunan dan penyelidikan getah asli yang dijalankan di TARRC. Foto Istana Negara
Dalam lawatan selama dua jam itu, Al-Sultan Abdullah menerima persembahan taklimat mengenai program pembangunan dan penyelidikan getah asli yang dijalankan di TARRC. Foto Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melawat Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC) di Brickendonbury, Hertford, United Kingdom (UK) hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka pada 9.40 pagi (waktu tempatan) disambut Ketua Pegawai Eksekutif TARRC Dr Lee Jiang Jun dan barisan pengurusan tertinggi serta kakitangan TARRC.

Dalam lawatan selama dua jam itu, Al-Sultan Abdullah menerima persembahan taklimat mengenai program pembangunan dan penyelidikan getah asli yang dijalankan di TARRC.

"Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa meninjau makmal dan lapangan penyelidikan TARRC.

"Sebagai tanda simbolik keberangkatan Baginda ke TARRC hari ini, Seri Paduka berkenan menanam pokok Sweet Gum (Liquidambar styraciflua) di perkarangan TARRC," menurut Istana Negara menerusi kenyataan di laman Facebook hari ini.

Turut mengiring Seri Paduka ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Zakri Jaafar.

TARRC merupakan pusat penyelidikan dan penggalakan bagi Lembaga Getah Malaysia yang ditubuhkan pada 1938 dengan nama asal Persatuan Penyelidikan Pengeluar Getah Britain.

Lawatan ke TARRC hari ini adalah antara atur cara Lawatan Khas Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke UK selama 10 hari bermula 17 September lepas.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Seri Paduka berdua telah berkenan berangkat melawat Stesen Janakuasa Battersea di London dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square.

Di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Seri Paduka berdua turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan komuniti rakyat Malaysia di London.

Menurut Istana Negara, Seri Paduka dijadualkan berangkat ke sesi kedua bersama komuniti rakyat Malaysia di The Shire, London pada jam 11 pagi (waktu tempatan) esok.

Dalam lawatan khas berkenaan, Al-Sultan Abdullah turut dijadual berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Akademi Tentera Diraja Sandhurst. Seri Paduka pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi berkenaan dari 1978 hingga 1979.

Seri Paduka turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Ketua Staf Pertahanan United Kingdom Sir General Nicholas Carter yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom.

Carter juga pernah menuntut di Akademi Tentera Diraja Sandhurst.

Usai lawatan khas itu, Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula dari 27 September dan dijadual berangkat pulang ke tanah air pada 23 Oktober.

Lawatan khas itu merupakan kali kedua bagi Seri Paduka ke UK sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dengan lawatan khas pertama diadakan tujuh hari bermula 9 Disember 2019. - Bernama