Lesen memandu warga emas: Penilaian perlu bersifat holistik

Ka Siong
Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - Aspek yang lebih luas dan holistik termasuk keperluan mobiliti serta faktor sosioekonomi lain harus dipertimbangkan sebelum mengenakan syarat khas kepada pemegang lesen memandu khususnya dalam kalangan warga emas.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, penilaian terhadap seseorang pemandu yang hanya bersandarkan kepada faktor umur atau merujuk kepada kes terpencil dikhuatiri akan menimbulkan diskriminasi terhadap golongan warga emas terutama dalam mengehadkan pemilikan mereka terhadap lesen memandu Malaysia (LMM) dan lesen kenderaan motor (LKM).

Justeru, katanya, sebarang perubahan dasar berkaitan LLM dan LKM harus dilakukan menerusi pendekatan sistematik dan menyeluruh berdasarkan bukti kukuh.

“Merujuk kepada cadangan untuk mengenakan syarat khas bagi pengeluaran LMM kepada warga emas yang berusia 70 tahun ke atas, aspek yang lebih luas dan holistik termasuk keperluan untuk mobiliti dan faktor sosio-ekonomi lain harus dipertimbangkan, bukan sekadar tertumpu kepada faktor usia semata-mata.

“Selain itu, cadangan untuk mengehadkan pengeluaran LKM kepada warga emas juga berupaya menimbulkan situasi lain misalnya, seseorang hanya perlu meminjam atau menggunakan kenderaan yang bukan miliknya semata-mata mahu melanggar peraturan ini jika ia dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyaatan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias mengesyorkan syarat khas dikenakan untuk pemegang lesen memandu dalam kalangan warga emas sebelum mereka dibenarkan memperbaharui dokumen itu.

Beliau berkata, cadangan memperkenalkan syarat khas itu adalah untuk tujuan menjaga keselamatan golongan berkenaan sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, LMM turut merangkumi semua kenderaan termasuk motosikal.

Artikel Berkaitan:

Ulas beliau, jika penilaian berdasarkan kepada faktor usia sahaja, ia pasti akan meninggalkan banyak kesan terhadap individu termasuk mereka yang berada di kawasan luar bandar dan tidak memiliki mod pengangkutan lain.

“Justeru, isu ini perlu dilihat secara kolektif dan inklusif dengan mengambil kira pandangan semua pemegang taruh untuk merangka pelan penambahbaikan yang berkesan dan mapan.

“Faktor sosioekonomi seperti menggunakan kenderaan sebagai punca pendapatan khususnya mereka yang menggunakan motosikal di kawasan pedalaman serta keperluan bagi tujuan kecemasan atau mendapatkan rawatan perubatan juga perlu diambil kira,” katanya.

Tambah Ka Siong, Seksyen 30 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang berkuatkuasa ketika ini turut menetapkan tanggungjawab kepada pemandu atau pemegang lesen untuk secara sukarela menyerahkan lesen memandu apabila mempunyai tahap kesihatan yang tidak memuaskan serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

“Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menekankan bahawa setiap pemandu bertanggungjawab menggunakan kenderaan masing-masing dengan selamat mengikut undang-undang yang ditetapkan,” katanya.