23,487 pelajar ditawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman

Wan Saiful (dua dari kiri) menyerahkan surat WPP kepada Nur Anis Nadia (tengah) di rumahnya di Kampung Hutan Terabak, Paya Kemunting, Jitra pada Sabtu. Turut sama, Wan Zawiah (kanan) dan Fauzi Azli (kiri).
Wan Saiful (dua dari kiri) menyerahkan surat WPP kepada Nur Anis Nadia (tengah) di rumahnya di Kampung Hutan Terabak, Paya Kemunting, Jitra pada Sabtu. Turut sama, Wan Zawiah (kanan) dan Fauzi Azli (kiri).
A
A
A

JITRA - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada 23,487 pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berjumlah lebih RM35 juta.

Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, PTPTN menyediakan WPP sebanyak RM1,500 kepada setiap pelajar bagi menampung sebahagian perbelanjaan mereka sebagai persiapan untuk memasuki IPTA bagi sesi kemasukan Oktober 2021.

Menurutnya, dengan penyediaan itu diharap tidak ada pelajar yang gagal memasuki universiti awam disebabkan oleh masalah kewangan.

WPP ini diberikan kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang telah membuat persetujuan menerima WPP semasa memohon UPU Online atau pun melalui portal kemasukan IPTA dan ibu bapa atau penjaga pelajar itu merupakan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh PTPTN.

"Tempoh sah laku WPP selama dua bulan bermula 24 September ini. Pelajar boleh menunaikan WPP di mana-mana cawangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dengan membawa bersama Mykad pelajar manakala wakil tidak dibenarkan," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Sabtu.

Sebelum itu, Wan Saiful hadir menyerahkan surat tawaran WPP kepada seorang pelajar, Nur Anis Nadia Shahrul Amer, 20, di Kampung Hutan Terabak, Paya Kemunting, Jitra.

Hadir sama, Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengurus Besar PTPTN Kedah, Fauzi Azli Salleh.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP bermula 27 September melalui portal rasmi PTPTN.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sejak WPP diperkenalkan bermula 1999, seramai 942,025 pelajar telah menerima manfaat tersebut dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.39 bilion.

"Di Kedah sahaja, seramai 2,343 pelajar menerima WPP bagi kemasukan Oktober 2021 dengan peruntukan sebanyak RM3.5 juta, manakala di Parlimen Kubang Pasu pula seramai 166 pelajar menerima manfaat dengan jumlah RM249,000" ujarnya.

Jelasnya, usaha yang diberikan oleh PTPTN ini adalah bukti pihaknya memainkan peranan penting untuk membantu ibu bapa pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA.

Para pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui portal PTPTN mulai 1 September hingga 30 September bagi kelompok pertama.

"Bagi kelompok kedua, permohonan boleh dibuat mulai 1 Oktober hingga 31 Oktober bagi memastikan pinjaman dapat diproseskan dan diluluskan," katanya sambil menasihati pelajar menggunakan WPP dengan sebaik mungkin.

Mereka juga boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPTA masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.

Maklumat lanjut berkenaan pinjaman dan WPP PTPTN juga boleh diperoleh melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.