Kalah di Semenyih, ini referendum rakyat, kata Pemuda PH

Mohd Nazri
Mohd Nazri
A
A
A

SEREMBAN - Keputusan PRK Semenyih beberapa hari lalu, termasuk perubahan kerajaan pada PRU14 lalu, menunjukkan kedua-duanya merupakan referendum rakyat yang dahagakan pembelaan serta jaminan masa hadapan.

Ahli Majlis Pimpinan Pemuda Pakatan Harapan Malaysia, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, kebangkitan rakyat pelbagai kaum khususnya orang Melayu serta generasi muda yang merupakan suara akar umbi, menuntut perubahan dalam kehidupan harian yang selama ini tidak diendahkan oleh kerajaan terdahulu dan seakan-akan masih kabur dalam struktur pentadbiran masa kini.

Katanya, kerajaan PH sama ada di peringkat Persekutuan mahupun Negeri perlu lebih sensitif dan segera menggarap aspirasi rakyat dengan berani, tegas dan bertanggungjawab.

“Gesaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya PH segera melaksanakan agenda bumiputera, yang merupakan bahagian integral daripada agenda nasional, adalah langkah berani yang seharusnya disambut baik, tanpa perlu tunduk kepada mana-mana tekanan, apatah lagi, gesaan tersebut selaras dengan apa yang dijanjikan dalam manifesto PH.

“Seluruh komponen PH bertanggungjawab untuk memastikan kerajaan hari ini tidak dijangkiti wabak ‘denial syndrome’, dan kita harus bekerja seiring dengan nurani rakyat.

“Kita perlu sedar betapa rakyat khususnya orang Melayu dan bumiputera serta anak muda masih lagi belum merasakan pembelaan dan jaminan untuk masa depan mereka,”katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kontradiksi beberapa pandangan di antara pimpinan negara juga wajar diteliti dengan baik agar tidak mendatangkan kekeliruan kepada rakyat.

Isu-isu berkaitan pendidikan, PTPTN, kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik atau mampu sewa-beli serta soal ruang pembangunan perniagaan atau industri harus diberikan solusi segera dengan mandat yang diberikan melalui kementerian-kementerian sedia ada.

Artikel Berkaitan:

“Saya menggesa supaya seluruh kepimpinan PH segera merencanakan pelaksanaan program-program untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan menengah (B40 & M40) yang bersesuaian dengan kementerian masing-masing, serta menggubal polisi dan dasar-dasar yang dapat mengembalikan keyakinan semula rakyat.

“Sebuah gagasan wawasan Malaysia Baharu perlu dilakar segera bagi menentukan kompas pentadbiran negara seumpama Wawasan 2020 yang pernah diilhamkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad terdahulu,” katanya.