Perak sedia dana pinjaman mikro kepada peniaga

Saarani (kiri) menyampaikan Bantuan One-off Peniaga kepada seorang usahawan ketika Majlis Penyampaian Bantuan One-off Penjaja Majlis Daerah Lenggong di Dewan Serbaguna Kota Tampan, di sini pada Jumaat.
Saarani (kiri) menyampaikan Bantuan One-off Peniaga kepada seorang usahawan ketika Majlis Penyampaian Bantuan One-off Penjaja Majlis Daerah Lenggong di Dewan Serbaguna Kota Tampan, di sini pada Jumaat.
A
A
A

LENGGONG - Kerajaan Perak akan mewujudkan pinjaman mikro khusus kepada peniaga yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pinjaman tanpa faedah itu disediakan kepada peniaga yang memerlukan untuk memulakan perniagaan mereka.

Menurutnya, walaupun kerajaan mengumumkan bantuan sekali bayar berjumlah RM300 kepada penjaja dan usahawan bagaimanapun jumlah tersebut mungkin tidak mencukupi bagi sesetengah peniaga.

"Kita faham RM300 tidak mencukupi. Bagi peniaga restoran, pasar malam, peniaga gerai mungkin memerlukan modal lebih besar daripada RM300. Kita pun tak mampu untuk memberi dengan nilai yang lebih besar sebab bilangan usahawan ini terlalu besar dan terlampau ramai.

"Jadi kita menawarkan pinjaman tanpa faedah atau mikro kredit, mungkin bagi sesorang yang ingin memulakan perniagaan dia perlukan RM3,000 contohnya. Jadi, dia kena memohon dan lepas dapat dia akan bayar balik pinjaman tersebut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan One-off Penjaja Majlis Daerah Lenggong di Dewan Serbaguna Kota Tampan, di sini pada Jumaat.

Saarani berkata, kerajaan negeri sedang berusaha mengumpul dana dan memperhalusi kaedah pinjaman berkenaan agar kemudahan itu digunakan sepenuhnya untuk perniagaan, bukan untuk tujuan lain.

Menurutnya, jumlah peruntukan sebenar yang diperlukan bagi kemudahan tersebut masih belum dibuat namun dianggarkan membabitkan jutaan ringgit.

"Sekarang ini, kita ada RM3 juta pertama iaitu RM1 juta baki dana Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) tahun lepas, RM1 juta dari Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak untuk usahawan tani dan ketiga merupakan RM1 juta dari Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).

Artikel Berkaitan:

"Saya cukup yakin kita ada peluang untuk menambah dana tersebut. Saya akan berbincang dengan STeP untuk melihat berapakah peruntukan sebenar yang diperlukan," katanya.

Saarani berkata, pinjaman tersebut dijangka akan dilaksanakan pada Januari depan dengan perinciannya akan diumumkan pada Belanjawan Perak 2022 nanti.

Sementara itu, pada majlis berkenaan Saarani turut menyampaikan Bantuan Kotak Makanan oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Perak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan.