Diugut bakar rumah jika masih bantu mangsa ah long

Jian Boon menunjukkan laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.
Jian Boon menunjukkan laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.
A
A
A

PASIR GUDANG - Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Chua Jian Boon mendedahkan beliau dan keluarganya telah menerima ugutan jenayah sejak dua hari lalu.

Menurut Jian Boon, ugutan jenayah yang dikhuatiri boleh mencederakan keluarganya dipercayai atas tindakan beliau yang sering membantu orang ramai terutama mangsa sindiket pinjaman wang haram atau ah long.

“Saya mengetahui perkara ini daripada bapa saya yang memaklumkan telah menerima panggilan daripada individu yang tidak dikenali pada jam 12 tengah hari pada Selasa.

“Menerusi panggilan itu, individu berkenaan dengan nada tegas menyuruh saya untuk tidak lagi menjalankan kerja-kerja amal selain berhenti membantu mangsa-mangsa penindasan ah long.

“Bapa saya juga memaklumkan individu tersebut akan bertindak membakar rumah kami jika saya tidak berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di Pejabat MCA Bahagian Pasir Gudang di sini petang Khamis.

Jian Boon berkata, ekoran itu beliau telah membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai pada jam 9 pagi Rabu.

Sementara itu, mengulas mengenai ugutan yang diterima, beliau percaya ugutan tersebut diterima selepas beliau cuba mendedahkan satu kes penindasan ah long terhadap sebuah keluarga di Kulai, minggu lalu.

“Saya percaya kes ini ada kena-mengena dengan satu sidang akhbar yang saya lakukan minggu lalu mengenai sebuah keluarga yang telah menerima ugutan kerana masalah ah long.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah kali pertama saya mengalami perkara ini selepas lebih 300 kes saya dedahkan sejak memegang jawatan ini pada Ogos tahun lalu. Apa pun perkara ini tidak akan melemahkan motivasi saya untuk terus berkhidmat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi ingatan kepada sindiket terbabit untuk tidak mengambil mudah kerana ugutan itu secara tidak langsung diberikan secara terus kepada pimpinan MCA Pusat.

“Mereka ini ugut saya yang kita tahu jalankan tugas demi parti dan rakyat. Jadi jika mereka ugut saya, mereka ini juga telah mengugut parti saya yang saya wakili kini. Jadi kita di peringkat Pusat mengambil serius perkara ini,” katanya.