Banduan warga emas didakwa terlibat aktiviti wang haram

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang warga emas yang sedang menjalani hukuman penjara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan menggunakan wang hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM285,000, empat tahun lepas.

Shee Fook, 71, yang hadir memakai baju banduan berwarna hijau, mengaku bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 14 Mac ini untuk menjatuhkan hukuman bagi membolehkan pihak pendakwaan menyediakan fakta kes.

Fook difahamkan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Kajang atas kesalahan menipu.

Tertuduh didakwa menggunakan wang sejumlah RM35,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram daripada akaun simpanan miliknya, di CIMB Bank Malaysia Bhd cawangan Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, Serdang dekat sini pada 17 Februari 2015.

Warga emas itu juga didakwa menggunakan wang sejumlah RM250,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram daripada akaun simpanan miliknya, di Bank Islam Malaysia Bhd cawangan Sri Petaling, Kuala Lumpur antara 13 Februari 2015 dan 16 Februari 2015.

Dia didakwa mengikut Subseksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 4 (1) Akta sama.

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut yang mana lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Liyana Shahrir sementara tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama