Polis rampas syabu, heroin bernilai RM24,200

Dadah yang ditemui dalam poket dan bekas besi dalam dua serbuan di Guar Chempedak, Kedah pada Rabu. - Foto PDRM
Dadah yang ditemui dalam poket dan bekas besi dalam dua serbuan di Guar Chempedak, Kedah pada Rabu. - Foto PDRM
A
A
A

YAN - Polis merampas dadah jenis syabu dan heroin bernilai RM24,200 di dua lokasi berasingan di Guar Chempedak di sini selepas berjaya menahan dua warga tempatan pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin berkata, serbuan di lokasi pertama membabitkan dua suspek berusia 28 dan 29 tahun di hadapan sebuah kedai dobi pada jam 10.15 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam poket seluar salah seorang suspek menemui satu peket plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.66 gram.

"Bertindak atas maklumat suspek, polis telah pergi ke sebuah rumah di Kampung Baru pada jam 10.45 pagi dan hasil pemeriksaan menemui empat bungkusan plastik lut sinar berisi ketulan disyaki dadah jenis heroin.

"Bungkusan dadah itu ditemui dalam bekas besi di atas rak kayu di hadapan rumah tersebut dengan anggaran berat 1.647 kilogram," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM24,200.

Saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan turut menunjukkan kedua-duanya mempunyai rekod kesalahan lampau.

"Kami turut menyita rantai dan kereta bernilai anggaran RM21,550 untuk siasatan lanjut,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Suspek direman selama tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu depan untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.