'Sanusi kena ubah sikap'

Laporan Sinar Harian pada 22 September 2021.
Laporan Sinar Harian pada 22 September 2021.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dinasihatkan mengubah sikapnya yang didakwa kerap memberi kenyataan yang mampu mencetuskan kontroversi.

Ketua Pembangkang Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, Muhammad Sanusi tidak boleh menjadi Menteri Besar Kedah sekiranya ingin terus mempertahankan perwatakannya dan tidak ingin berubah.

Phahrolrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu menegaskan bahawa Muhammad Sanusi bukanlah individu biasa.

"Disebabkan itu, teguran diberikan kepada Muhammad Sanusi dan sebelum ini beberapa teguran telah buat terhadapnya kerana kerap membalas kenyataan netizen.

"Sebagai seorang insan yang memegang jawatan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi tidak boleh beranggapan bahawa dia individu biasa lagi ketika ini," katanya ketika sidang media melalui aplikasi Zoom pada Rabu.

Phahrolrazi berkata sedemikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhammad Sanusi bahawa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bukanlah tempat membangkitkan perwatakan pemimpin.

Beliau memberitahu sebarang kenyataan dikeluarkan Muhammad Sanusi mempunyai kaitan dengan jawatannya sebagai Menteri Besar.

"Bukan kita campur mengenai keluarganya, yang mana itu memang tidak boleh tetapi apa kenyataan dibuatnya dilihat sebagai insan menjawat jawatan Menteri Besar Kedah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegas Phahrolrazi, tindakan beberapa ADUN membangkitkan isu perwatakan Muhammad Sanusi dirasakan amat wajar.

Katanya, kenyataan Muhammad Sanusi dikhuatiri bukan hanya memberi gambaran tentang dirinya tetapi juga Kedah.

ADUN Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula berkata, Muhammad Sanusi tidak seharusnya melatah dan menerima baik teguran.

"Ini kerana niat di sebalik teguran bukanlah politik tetapi untuk menyelesaikan masalah dan mengelakkan daripada fitnah serta melakukan perkara tidak diingini," katanya.

Pada Selasa, ADUN Gurun, Datuk Johari Abdul menegur sikap Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor yang dikatakan kerap memberi kenyataan mencetuskan kontroversi mendapat perhatian ketika sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.