Isu MBI Kedah: Sanusi sedia beri kerjasama siasatan SPRM

 Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemindahan wang RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah ke luar negara.

Malah beliau juga bersedia menyerahkan butiran dan bukti berkaitan kepada pihak berkuasa untuk melancarkan siasatan namun enggan mendedahkan secara terbuka tanpa menggunakan saluran yang betul.

“Kalau ada keperluan, butiran itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa. SPRM pun sudah maklum tentang perkara ini apabila didedahkan pada Selasa dan dilaporkan media. Saya tiada masalah untuk beri kerjasama,” katanya pada sidang akhbar secara maya selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi juga tidak menolak kemungkinan pihaknya akan membuat laporan kepada SPRM atau polis berhubung pendedahan itu yang didakwa dilakukan ketika Kedah ditadbir bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku Pengerusi MBI pada ketika itu.

“Saya sebenarnya tidak suka ungkit perkara lampau, namun kalau terdapat kesalahan di bawah mana-mana akta, pihak berkuasa boleh datang siasat atau jumpa saya.

"Ini kerana kalau berlaku kesalahan dalam isu ini, dan saya cuba lindungi, ini pun menjadi satu kesalahan juga. Rasanya SPRM pun dah dengar dan baca akhbar mengenai hal ini,” ujarnya lagi.

Ketika ditanya transaksi pemilik akaun bank yang berpangkalan di Kanada itu, Muhammad Sanusi berkata, maklumat terperinci tidak sesuai untuk didedahkan buat masa ini kerana kemungkinan kes itu akan disiasat pihak berkuasa.

“Saya hanya boleh sahkan nama bank transaksi itu adalah Barclays Bank,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, perkara itu dibangkitkan pada persidangan DUN Kedah berikutan ia hanya diketahui baru-baru ini.

“Secara peribadi, saya rasakan Mukhriz tidak tahu berkenaan transaksi itu kerana mungkin dilakukan oleh penasihat beliau. Saya tak tuduh beliau yang buat tapi transaksi itu ada. Kesianlah pada dia sebab dia pun nampak terkejut bila perkara ini didedahkan,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, amat penting untuk seseorang menteri besar mengetahui apa yang berlaku dalam pentadbirannya mahupun persekitaran bagi mengelak perkara seumpama ini berlaku tanpa pengetahuan.

Pada Selasa, Muhammad Sanusi mendedahkan wang RM13 juta milik MBI Kedah dipindahkan ke akaun luar negara dan memiliki slip bank transaksi pemindahan wang tersebut sebagai bukti.