Kualiti diplomat Malaysia perlu dipertingkat: Saifuddin

Kualiti diplomat Malaysia masih boleh dipertingkat dalam usaha memastikan mereka boleh berperanan lebih aktif di persada antarabangsa. (Gambar kecil: Saifuddin)
Kualiti diplomat Malaysia masih boleh dipertingkat dalam usaha memastikan mereka boleh berperanan lebih aktif di persada antarabangsa. (Gambar kecil: Saifuddin)
A
A
A

SHAH ALAM - Kualiti diplomat Malaysia masih boleh dipertingkat dalam usaha memastikan mereka boleh berperanan lebih aktif di persada antarabangsa, kata Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau bagaimanapun mengakui, mereka sememangnya dilatih dengan baik serta memenuhi keperluan diplomasi.

“Saya lihat diplomat kita di Kementerian Luar Negeri ini profesional. Mereka ini dilatih dengan baik dan memadai untuk memenuhi keperluan diplomasi kita.

“Tetapi kalau kita mahu memainkan peranan secara lebih aktif, kita harus tingkatkan kualiti,” katanya pada program Bersama Saifuddin yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berhubung sejauh mana tahap kualiti diplomat Malaysia ketika ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau sebelum ini turut mencadangkan agar kerajaan melahirkan ‘subject matter expert’.

“Saya perkenalkan program yang dipanggil pensarjanaan diplomat. Alhamdulillah walaupun perlahan sedikit tetapi kita dah mula dan 16 orang pertama akan mengikuti program ini.

"Kita juga bekerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mencadangkan agar beberapa wakil pelajar dihantar ke luar negara untuk menyertai kursus-kursus pendek.

“Misalnya ke Harvard Business School dan Kennedy School of Government. Yang paling penting ialah kursus-kursus pendek ini bukan sekadar untuk belajar sahaja tetapi perlu menjalinkan ‘networking’ dengan tokoh-tokoh besar di luar negara.

“Saya kira ini yang harus kita lipat gandakan nanti,” katanya.