X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Beri peniaga kecil geran modal RM1,000

Peniaga berharap kerajaan memberi pelbagai insentif menerusi Belanjawan 2022 bagi merancakkan semula ekonomi negara.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran menyediakan geran modal sebanyak RM1,000 secara sekali bayar kepada peniaga kecil dan RM3,000 kepada syarikat untuk menggerakkan semula ekonomi negara menerusi Belanjawan 2022.

Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, geran tersebut akan memberi harapan baharu kepada peniaga untuk memulakan semula perniagaan selepas kes Covid-19 dalam negara menunjukkan penurunan.

Beliau berkata, kebanyakan mereka sudah kehabisan modal disebabkan wang simpanan tidak mencukupi untuk menanggung keperluan harian.

“Sudah setahun lebih rakyat berusaha untuk hidup menggunakan duit sendiri kerana bantuan kerajaan tidak mencukupi bagi menanggung isi rumah.

“Kita mempunyai kekangan untuk modal pusingan dan mengharapkan pihak kerajaan dapat menyediakan peruntukan.

“Kerajaan boleh memberi geran kepada syarikat dengan melihat pergerakan aktif mereka menerusi penyata bank, tidak ada kesenjangan selama setahun dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.

Rosli menambah, kerajaan juga dicadang memberikan pelepasan bayaran lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya rakyat selesa berniaga dan tidak memikirkan hutang ditanggung mereka.

Menurut beliau, moratorium yang diumumkan sebelum ini perlu dilanjutkan walaupun selepas kes Covid-19 menurun kerana ia akan membantu menggerakkan perniagaan mereka.

“Semasa Covid-19 melonjak, mereka tidak boleh berniaga tetapi selepas kita dapat melandaikan angka jangkitan ini, maka barulah perniagaan rancak semula sehingga mendapat keuntungan dan mampu membayar hutang PBT.

“Jadi kerajaan seharusnya memikirkan situasi selepas Covid-19 dilandaikan, termasuk memberi moratorium selama enam bulan atau setahun.

“Kerajaan patut memberi sesuatu untuk mengaktifkan semula perniagaan. Ketika kes Covid-19 masih tinggi, kita tidak dibenarkan bergerak dan perniagaan tidak boleh dijalankan, maka moratorium yang diberikan sebelum ini tidak memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman

Mengulas lanjut, beliau berkata, peniaga juga wajar diberi pelepasan cukai selama setahun bagi kenderaan yang digunakan untuk menjalankan perniagaan.

“Ini kerana kenderaan merupakan keperluan untuk berniaga khususnya peniaga kecil.

“Namun begitu, mereka tetap perlu membayar insurans kenderaan sebagai satu bentuk perlindungan,” katanya.

Dalam pada itu, Penasihat Jawatankuasa Bertindak Peniaga Mikro Malaysia, Charles Anthony Santiago mencadangkan kerajaan memberi fokus kepada perusahaan mikro kerana mereka lebih dekat dengan masyarakat. Menurutnya, kumpulan tersebut lebih terdesak memandangkan wang simpanan sudah habis dan perniagaan mereka terpaksa ditutup akibat tidak mampu membayar sewa.

“Sebab itu, cadangan saya ialah kerajaan membayarkan sewa untuk mereka selama empat hingga enam bulan yang akan memberi pendapatan kepada pengusaha dan pekerjaan kepada orang lain.

“Kerajaan harus fokus untuk menambah baik dan memulihkan kehidupan mereka yang sudah hilang kerja atau perniagaan,” katanya.

Jelas Charles, sokongan subsidi boleh diberikan kepada pengusaha mikro untuk membantu mereka mengelakkan pinjaman daripada ah long bagi membantu perniagaan mereka.


INFO


10 Cadangan Untuk Membantu Peniaga Kecil

1. Geran modal RM1,000 sekali bayar kepada peniaga kecil dan RM3,000 kepada syarikat.

2. Pelepasan bayaran lesen pihak berkuasa tempatan.

3. Pelepasan cukai kenderaan selama setahun namun tetap membayar insurans kenderaan.

4. Tangguh bayaran sewa premis perniagaan sehingga enam bulan.

5. Beri subsidi bahan mentah kepada peniaga.

6. Laksanakan moratorium pinjaman selama enam bulan atau setahun.

7. Diskaun kos utiliti wajib seperti bil air dan elektrik.

8. Mudahkan permohonan baharu lesen perniagaan, lanjutkan waktu operasi niaga dan sediakan lokasi strategik untuk peniaga kecil.

9. Tambah baik dan perluaskan Program Subsidi Upah sedia ada.

10. Mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) untuk tempoh yang lebih panjang.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!