Kanak-kanak perempuan cedera digigit kera jantan

Kanak-kanak perempuan berusia setahun tujuh bulan cedera di bahagian belakang badan, selepas digigit seekor kera.
Kanak-kanak perempuan berusia setahun tujuh bulan cedera di bahagian belakang badan, selepas digigit seekor kera.
A
A
A
SEREMBAN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tujuh bulan cedera di bahagian belakang badan, selepas digigit seekor kera di Taman Dusun Nyior, di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi itu, mangsa dikatakan sedang bermain di halaman rumah bersama kakaknya, sebelum diserang haiwan liar berkenaan di depan rumah.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun, berkata, kanak-kanak tersebut kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk tindakan lanjut.

"Pihak kami menerima aduan daripada seorang wanita memaklumkan anak saudaranya telah cedera akibat digigit seekor kera di halaman rumah mereka.

"Bertindak atas maklumat itu, tiga anggota Perhilitan bergegas ke lokasi kejadian, dan mendapati kera jantan itu berada di atas pokok di seberang jalan berhampiran rumah keluarga mangsa.

"Kera jantan dewasa seberat kira-kira 8 kilogram itu kemudiannya, ditembak mati sebelum dibawa ke pejabat untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati kera berkenaan dipercayai tersesat ke kawasan kediaman penduduk kerana pihaknya tidak pernah menerima laporan serangan haiwan itu di kawasan berkenaan sebelum ini.

Katanya, mangsa yang cedera kini ditahan di wad, bagi rawatan lanjut selepas mengalami kecederaan di bahagian belakang badan.

"Ketika ini kami belum mendapat maklumat mengenai keadaan mangsa dan akan berjumpa dengan keluarganya esok.

Artikel Berkaitan:

"Pihak Perhilitan akan membantu keluarga mangsa untuk memohon bantuan menerusi tabung serangan binatang buas," katanya.