Kesemua projek berimpak tinggi lancar selepas penambahbaikan

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kesemua projek berimpak tinggi membabitkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) Kota Perdana, Kedah Rubber City (KRC), Kedah Science & Technology Park (KSTP) dan Sidam Logistics Aerospace and Manufactunnq Hub (SLAM) berjalan lancar selepas kerajaan negeri melakukan pembaikan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelabur kini sedang berusaha memenuhi syarat ditetapkan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) melalui lapan nasihat yang perlu dipatuhi pemaju.

Menurutnya, MPFN yang bersidang pada 27 Oktober tahun lalu secara dasar bersetuju dengan cadangan pembangunan KXP dan proses pengambilan tanah pula akan dikemukakan setelah kerajaan negeri menerima peruntukan mencukupi daripada pelabur.

“Perjanjian usahasama ini antara KXP AirportCity Holding Sdn Bhd (KXP) dan pelabur, ECK Development Sdn Bhd ditandatangani pada 2 Ogos lalu. Sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) dibentuk bagi membolehkan usahasama bagi pembangunan KXP,” katanya ketika menjawab soalan lisan Mohd Azam Abd Samat (Pas-Sungai Limau) mengenai status terkini projek berkenaan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Selasa.

Muhammad Sanusi berkata, KXP bakal menawarkan 18,000 peluang pekerjaan untuk anak Kedah dalam tempoh 30 tahun.

Mengulas mengenai KRC, katanya, kerja-kerja infrastruktur fasa satu giat dijalankan dengan kawasan seluas 24 hektar.

“Kerja-kerja dijangka siap sepenuhnya Disember 2022. Ia melibatkan pembangunan infrastruktur berfasa, iaitu 202 hektar pada fasa satu dan 283 hektar pada fasa dua.

Muhammad Sanusi memaklumkan, SBEZ Kota Perdana pula kini di peringkat pelaksanaan kerja-kerja pembersihan tapak dan kerja tanah mengikut peruntukan ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Pemaju dalam proses mendapatkan Permohonan Kebenaran Merancang Pindaan sebahagian yang telah diluluskan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) di atas sebahagian lot Kota Perdana,” katanya.

Bagi KSTP pula proses reka bentuk terperinci sedang dijalankan dan pembangunan fasa satu dijangka bermula Disember ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, bagi melancarkan kesemua projek berkenaan, beberapa penambahbaikan dilakukan antaranya menstrukturkan semula perancangan supaya lebih cepat beralih kepada peringkat pelaksanaan.

“Pembaharuan lain, memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur utiliti luaran yang menjadi sokongan kepada pembangunan projek impak tinggi antaranya elektrik, bekalan air terawat dan gas,” katanya lagi.

Muhammad Sanusi turut menyifatkan projek berkenaan sebagai 'game changer’ untuk mengubah landskap ekonomi negeri secara signifikan.