Pembangunan ekonomi luar bandar perlukan peruntukan RM8 bilion

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa memperuntukkan RM8 bilion untuk pembangunan dan pembinaan semula ekonomi luar bandar menerusi Belanjawan 2022.

Pengerusi Biro Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, peruntukan tersebut perlu dibahagikan ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan lebih adil serta secara bersasar.

Menurutnya, melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang bakal diumumkan, pelan lima tahun tersebut diharapkan lebih cenderung untuk membina ekonomi luar bandar dengan ketara.

“Sektor pekerjaan di kawasan luar bandar harus dikukuhkan iaitu peluang pekerjaan untuk tenaga separa mahir dan berkemahiran tinggi digandakan.

“Kerajaan mesti berusaha mengurangkan keperluan graduan Malaysia yang terpaksa meninggalkan kampung halaman kerana tiada pekerjaan yang sesuai dari segi kualiti dan gaji.

“Pada masa sama, Majlis Pemulihan Negara juga disaran memperkenalkan pelan strategi khusus bagi melonjakkan aktiviti ekonomi luar bandar menerusi pemantapan sentimen perniagaan setempat, pengukuhan pasaran buruh dan pemulihan kuasa pembeli,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Faiz turut menggalakkan rakyat di kawasan luar bandar untuk bangkit menceburi lebih banyak aspek perniagaan yang mempunyai nilai tambah dan mewujudkan lebih banyak pembekal atau vendor bagi industri-industri penting.

Tambah beliau, tindakan itu bakal mengukuhkan rantaian bekalan ekosistem perniagaan dan industri Malaysia terutama sektor pertanian.

Artikel Berkaitan:

“Sebarang peruntukan dan dasar ekonomi bagi kawasan luar bandar sepatutnya bersifat bersasar atau mikro serta bersesuaian dengan keperluan rakyat setempat.

“Kita tidak boleh memperkenalkan satu dasar generik bagi kawasan luar bandar dan mengharapkan ia setimpal dengan keperluan di seluruh Malaysia. Misalnya, keperluan sosio-ekonomi rakyat Baling, Kedah berbeza dengan rakyat Tumpat, Kelantan,” ujar beliau.