X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Tiada pengambilan tapak masjid untuk kuil: Aminuddin

Aminuddin (gambar kecil) menafikan berita yang dilaporkan sebuah portal yang tular di media sosial.
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri menafikan memberi kebenaran terhadap cadangan pembinaan kuil di atas tanah milik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di Taman Indah Tampin sebagaimana yang tular di media sosial dua hari lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tanah seluas 1.4 ekar itu telah diberikan kepada JHEAINS sebagai tapak Masjid Taman Indah sejak tahun 2011.

Katanya, walau bagaimanapun, tanah rizab tersebut belum dapat diusahakan lagi di atas beberapa kekangan, dan pihak JHEAINS turut mencadang akan mewujudkan Jawatankuasa Pembinaan Masjid Taman Indah.

"Cadangan pembinaan kuil di Taman Indah itu, tidak membabitkan tanah rizab JHEAINS, dan bukan juga dibina di atas tanah rizab tersebut, sebaliknya di luar kawasan.

"Cuma semasa pembinaan kuil dilakukan, kerja-kerja pembinaan itu termasuk di sebahagian daripada tanah rizab, lebih kurang 88 meter persegi, bukannya pengambilan keseluruhan tapak tanah tersebut.

"Jadi saya menasihatkan kepada individu yang tidak bertanggungjawab supaya menghentikan dan jangan jadikan perkara ini sebagai isu yang boleh memecah-belahkan perpaduan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Penyerahan Kad Takaful Skim Tabah (Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan) kepada penghantar makanan di kediaman Menteri Besar, di sini pada Isnin.

Tambahnya, pihak yang terlibat dinasihatkan supaya tidak melakukan provokasi, jika tidak mempunyai maklumat yang tepat, kerana ia boleh mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Aminuddin turut memberitahu jumlah kapasiti jemaah yang dibenarkan untuk solat Jumaat di negeri ini masih belum diputuskan.

Jelas Aminuddin, pihaknya akan mengumumkan perkara tersebut, sebaik sahaja mendapat perkenan Yang di-Pertua Besar, Tuanku Muhriz, dalam masa terdekat.

Semua masjid dan surau Jumaat di Negeri Sembilan pada masa kini dibenarkan beroperasi dengan terhad kepada 150 jemaah terawal, termasuk pegawai dan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid serta petugas keselamatan dan sukarelawan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!