X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

KPT kaji semula struktur yuran universiti awam

Noraini Ahmad
A
A

KUALA LUMPUR - Kajian secara mendalam akan dijalankan untuk melihat semula struktur yuran di semua universiti awam seluruh negara agar selari dengan kerangka hala tuju pendidikan pasca pandemik.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, ia susulan dapatan positif terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian yang diterima ketika ini.

Menurutnya, hasil dapatan Kajian Kualiti Pengajaran Dalam Talian Semasa Pandemik Covid-19 di IPT menunjukkan 78.4 peratus pelajar tidak tertekan dengan PdP dalam talian yang dilaksanakan akibat pandemik itu.

"Mengenai cadangan Yang Berhormat Lumut (Datuk Dr Mohd Hatta Ramli) tadi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini telah mengumumkan mengenai pengurangan yuran sebanyak 20 peratus kepada semua universiti awam (UA).

"Walau bagaimanapun, kajian mendalam akan dijalankan untuk melihat semula struktur yuran keseluruhan pengajian berdasarkan kepada dapatan positif terhadap kualiti PdP dalam talian yang dijalankan," katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Hatta (PH-Lumut) yang bertanyakan sama ada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bercadang untuk mengurangkan yuran di UA dan mengembangkan lagi pelaksanaan PdP secara dalam talian susulan respons positif yang diterima.

Mengulas lebih lanjut, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, dapatan positif PdP dalam talian itu juga diharap berupaya memberi fleksibiliti terhadap pengambilan pelajar mengikut kesesuaian program.

"Dapatan kajian ini sudah semestinya seperti yang dicadangkan Yang Berhormat Lumut akan menjadi salah satu daripada input yang akan digunakan dalam kerangka hala tuju pendidikan negara pasca pandemik," katanya.

Dalam perkembangan sama, Noraini turut menjelaskan, kajian yang mula dijalankan pada 15 November 2020 dan kini berada di peringkat akhir.

"Objektif utama kajian ini adalah untuk mengenal pasti faktor yang mempengaruhi kualiti pembelajaran dalam talian, keberkesanan serta kesediaan pelajar, tenaga pengajar dan IPT untuk meneruskan pelaksanaan pembelajaran dalam talian," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!