Pemberian jawatan bertaraf menteri satu sogokan: Tun M

 Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pemberian jawatan bertaraf menteri kepada mana-mana individu yang bukan dalam kerajaan sebagai satu bentuk sogokan.

Menurutnya, ia berikutan tiada istilah seumpama itu yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sekarang kita lihat satu amalan yang tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan. Kita dapati ramai orang yang dilantik jawatan tertentu yang tiada dalam Perlembagaan dan apabila dilantik, diberi taraf menteri.

"Tidak ada kriteria ditentukan bagaimana taraf menteri ini diberikan kepada mana-mana jawatan tetapi yang kita tahu apabila taraf menteri diberi maka dia akan dapat segala kemudahan yang diberi kepada menteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih dan Titah Diraja pada sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Dr Mahathir menegaskan, lantikan itu satu jenis sogokan kerana ia tidak tertumpu kepada tugas sebaliknya upahan yang akan diperoleh individu yang diberikan jawatan tersebut.

Katanya, walaupun beliau turut melantik individu tertentu ke jawatan bertaraf menteri ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini, namun membabitkan mereka yang telah bersara daripada politik.

"Saya mengaku semasa saya menjadi Perdana Menteri dahulu saya juga telah melantik orang yang berjawatan (setaraf) menteri tetapi jawatan itu diberi kepada seorang yang sudah pun bersara daripada politik.

Artikel Berkaitan:

"Beliau dilantik sebab kepakarannya dalam bidang tertentu," katanya.

Justeru itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan sepatutnya perlu meletakkan kriteria yang tertentu sebelum melantik seseorang ke jawatan bertaraf menteri.

"Jika tidak, ia jadi seperti sogokan kepada penyokong-penyokong kerajaan. Ini harus ditamatkan dalam reformasi yang akan dibuat oleh kerajaan," katanya.