Maritim Malaysia selamatkan wanita Itali sakit apendiks

Maritim Malaysia membantu membawa mangsa yang memerlukan rawatan segera akibat sakit apendiks ke Hospital Pantai Seri Manjung. Foto: Ihsan Maritim Malaysia Perak.
Maritim Malaysia membantu membawa mangsa yang memerlukan rawatan segera akibat sakit apendiks ke Hospital Pantai Seri Manjung. Foto: Ihsan Maritim Malaysia Perak.
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menyelamatkan seorang wanita warga Itali yang mengalami sakit apendiks melalui misi bantuan evakuasi perubatan (MEDEVAC) pada Sabtu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Sharizan Raman berkata, kru kapal tangki berusia 22 tahun itu mengadu sakit perut kronik atau apendiks ketika kapal berada di perairan Utara Banda Acheh, Indonesia.

Menurutnya, Maritime Rescue Sub Coordination (MRSC) Langkawi telah menerima aduan daripada syarikat pemilik kapal yang berpusat di Singapura sekitar jam 2 petang pada Jumaat.

"Syarikat berkenaan meminta bantuan bagi membawa kru wanita terbabit ke pusat kesihatan atau hospital terdekat.

"Berdasarkan maklumat awal diterima, lokasi Kapal MV Drenec itu dimaklumkan berada di sekitar 190 batu nautika barat laut Pulau Langkawi.

"Ejen kapal tersebut yang berada di Lumut mencadangkan untuk mendaratkan mangsa di Malaysia berikutan kemudahan fasiliti hospital yang lebih meyakinkan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Shahrizan berkata, misi dilaksanakan dan mangsa dipindahkan melalui titik pertemuan aset Maritim Malaysia bersama kapal tangki terbabit di kedudukan empat batu nautika utara Pulau Pangkor.

"Mangsa telah dipindahkan dengan menggunakan kaedah ’transfer bucket’ milik kapal MV Drenec di kedudukan titik pertemuan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa selamat dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh di sini sekitar jam 11 pagi sebelum dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Pantai Seri Manjung," katanya.