Sedia teruskan kerjasama dengan Pas

Khairudin
Khairudin
A
A
A

PARIT - UMNO Bahagian Parit akan meneruskan kerjasama dengan Pas dalam memastikan politik di tanah air menjadi politik baharu melibatkan kerjasama dua parti orang Melayu dan Islam terbesar.

Naib Ketua UMNO Bahagian Parit, Khairudin Abu Hanipah berkata, kerjasama itu akan terus dipupuk dalam kalangan ahlinya kerana ia memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam menjaga kepentingan agama Islam dan Melayu.

"Kerjasama yang amat baik ini telah menghasilkan keputusan yang baik dan ia akan diteruskan dalam memastikan kerjasama dua parti Melayu terbesar ini iaitu UMNO dan Pas membawa suara rakyat di Parlimen serta DUN," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Khairudin turut berkata kerjasama antara UMNO dan Pas juga membantu calon BN Zakaria Hanafi berjaya mengalahkan calon PH Muhammad Aiman Zainali dengan majoriti 1,914 undi pada PRK Semenyih, Ahad lalu.

Katanya selain daripada kerjasama dua parti berkenaan kegagalan PH menunaikan janji-janji yang ditaburkan pada PRU14 juga merupakan faktor mengapa mereka kalah pada PRK Semenyih.

"Kejayaan kita merampas kerusi ini juga membuktikan rakyat tidak berpuas hati serta kesal dengan prestasi kerajaan di bawah pentadbiran PH.

"Kegagalan PH menunaikan janji-janji yang ditaburkan mereka sehingga melenakan pengundi pada PRU14 juga menyebabkan pengundi tidak berpuas hati," katanya.

Artikel Berkaitan: