Dua lelaki curi mesin grinder ditahan

No Image Caption
A
A
A

KULAI - Dua lelaki yang disyaki mencuri mesin grinder di Taman Lagenda Putra ditahan polis di Flat Cengal, Taman Putri di sini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kedua-dua yang ditahan jam 12.10 tengah malam tadi itu berumur 36 tahun termasuk seorang daripadanya warga Pakistan.

"Sepasukan polis daripada Balai Polis Kulai telah membuat serbuan serta menahan kedua-dua suspek berkenaan.

"Hasil siasatan awal, mereka mengaku mencuri dua buah mesin grinder di Taman Lagenda Putra, di sini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beng Yeow berkata, susulan penahanan mereka, pelbagai barangan turut dirampas.

"Ini termasuklah beg kain, dua mesin grinder masing-masing berjenama Shenheng dan Bosch serta sebuah telefon bimbit.

"Kedua-dua suspek serta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk siasatan lanjut.

"Salah seorang suspek tempatan itu mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulai untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Mahkamah Majistret Kulai membenarkan mereka ditahan reman selama empat hari bermula hari hingga 7 Mac ini dan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.