X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Laluan feri Kuala Kedah-Langkawi dibuka Khamis depan

Perkhidmatan feri bagi laluan Kuala Kedah ke Langkawi di Terminal Feri Kuala Kedah di sini dibuka semula bermula pada Khamis depan. - Foto fail Bernama
A
A

ALOR SETAR - Perkhidmatan feri bagi laluan Kuala Kedah ke Langkawi di Terminal Feri Kuala Kedah di sini dibuka semula bermula pada Khamis depan.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, buat permulaan ini, perkhidmatan feri bagi perjalanan Kuala Kedah ke Langkawi dibuka dua trip sehari.

"Kami membuka semula laluan bermula pada 23 September ini untuk agensi kerajaan atau swasta membuat persiapan tempat bagi tujuan saringan Covid-19.

"Saya ingatkan penumpang yang akan ke Langkawi merancang perjalanan dan berada di terminal sekurang-kurangnya dua jam lebih awal bagi mengelakkan penumpang bersesak di pusat saringan Covid-19 seperti berlaku di terminal Kuala Perlis sebelum ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Baharin memaklumkan, pihaknya memantau trend pembelian tiket feri tersebut.

"Ramai penumpang tidak masuk ke Langkawi atau memohon pindaan tarikh kerana banyak mendengar berita tidak benar di media sosial.

"Saya mohon berita lama berhubung kesesakan di Terminal Feri Kuala Perlis tidak dijadikan propaganda menakutkan pelancong ke Langkawi ketika ini," katanya lagi.

Tambahnya, konsortium menyambut baik saringan Covid-19 di pintu-pintu masuk ke Langkawi kerana boleh memberi keyakinan kepada penumpang di atas feri serta penduduk tetap di pulau berkenaan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan perkhidmatan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi di Terminal Feri Kuala Kedah akan ditutup selama dua minggu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Kedah bermula pada 6 September.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!