BN perlu tarik pengundi Cina, India

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

JOHOR BAHRU - Susulan daripada ulasan mengenai keputusan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih semalam, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled memberikan penjelasan berhubung artikel tersebut.

Menurutnya, walaupun BN tidak mendapat sokongan kaum Cina dan hanya 40 peratus undi kaum India, pengundi Melayu masih boleh menghantar signal jelas kepada kerajaan PH rasa tidak puas hati dengan memilih calon BN.

"Seperti yang saya telah katakan, meskipun BN tidak mendapat sokongan kaum Cina dan hanya 40 peratus undi dari kaum India, orang Melayu-Muslim masih boleh menghantar signal yang jelas kepada kerajaan PH untuk menzahirkan ketidakpuasan mereka dengan mengundi calon BN.

"Momentum ini akan berterusan jika mereka bersatu dengan matlamat dan misi yang jelas demi mempertahankan kepentingan bangsa dan agama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, pada masa sama, beliau telah menegaskan bahawa BN dengan serius harus berusaha mengembalikan semula pengundi-pengundi Cina dan India ke pangkuan BN kerana setiap undi itu adalah penting.

Katanya, beliau juga tidak mengatakan bahawa BN tidak memerlukan undi Cina dan India di mana-mana pilihan raya sekalipun.

"Kita memerlukan undian dan dokongan semua orang, untuk menjayakan Malaysia yang kita impikan.

"Saya berharap artikel semalam diadili secara objektif mengikut konteks PRK Semenyih sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, media melaporkan kenyataan Mohamed Khaled yang menggariskan pengajaran daripada kemenangan BN dalam PRK Semenyih.