USM dominasi anugerah universiti keusahawanan terbaik

Maszlee menyampaikan anugerah Most Entrepreneurial University of The Year kepada USM.
Maszlee menyampaikan anugerah Most Entrepreneurial University of The Year kepada USM.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Universiti Sains Malaysia (USM) terpilih sebagai Most Entrepreneurial University of The Year di Anugerah Institusi Ministry of Education Entrepreneurial Awards (MEA) 2018, malam tadi.

Anugerah oleh Kementerian Pendidikan itu bagi mengiktiraf inisiatif institusi pengajian tinggi (IPT) dan warganya dalam pendidikan dan pembangunan keusahawanan.

Dengan kejayaan itu, USM membawa pulang hadiah geran pembangunan keusahawanan RM250,000, trofi dan plak.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik kepada Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail.

Dua lagi finalis kategori itu ialah Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) membawa pulang anugerah Most Polytechnic of The Year manakala Kolej Komuniti Baling dan Kolej Komuniti Sungai Petani muncul pemenang anugerah Most Community College of The Year.

MEA merupakan sebahagian daripada inisiatif Dasar Pembangunan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi (DPKIPT) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau PPPMPT serta Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2016–2020.

Ia untuk menggalakkan pewujudan ekosistem yang kondusif bagi pembangunan dan pendidikan keusahawanan di IPT tempatan melalui program-program keusahawanan yang lebih terancang dan holistik.

Konsep pelaksanaan MEA adalah berdasarkan model yang telah diadaptasi daripada Entrepreneurial of the Year Award yang diadakan oleh National Centre for Entrepreneurship in Education (NCEE) di bawah Times Higher Education Awards, United Kingdom.
Artikel Berkaitan:


Penilaian MEA merangkumi lima kategori yang dinamik dan komprehensif mewakili keseluruhan ekosistem keusahawanan IPT iaitu Institutional Awards, Outstanding Student Enterprise Award, Outstanding Graduate Enterprise Award, Outstanding Entrepreneurship Mentor Award dan Outstanding Student Social Entrepreneurship Award.

Anugerah kategori-kategori yang lain disampaikan oleh Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr Mohd Gazali Abas.

Dalam pada itu, Best Student Enterprise Award dikuasai oleh projek Liyana Sweetland Resources yang diusahakan oleh penuntut UiTM, Outstanding Entrepreneurship Mentor Award dianugerahkan kepada Prof Dr Mohar Yusof dari Unirazak, Outstanding Graduate Enterprise Award (Jiwa Generasi Sdn Bhd, UiTM), dan Outstanding Student Social Entrepreneurship Award (Mulberry, UMS).