Kita juga ‘berdosa’ pada alam

Perlu diingat, kita bukan saja perlu bertanggungjawab atas dosa kepada Tuhan, manusia dan haiwan bahkan kita juga barangkali ada ‘dosa’ pada alam. Gambar hiasan
Perlu diingat, kita bukan saja perlu bertanggungjawab atas dosa kepada Tuhan, manusia dan haiwan bahkan kita juga barangkali ada ‘dosa’ pada alam. Gambar hiasan
A
A
A

SEPERTI segelintir individu lain, saya mungkin antara kelompok yang kurang mengenali dan memahami kehidupan alam marin sehinggalah memutuskan untuk memiliki lesen penyelam rekreasi lebih sedekad lalu.

Dalam ujian awal untuk mendapatkan lesen, saya ‘dikenalkan’ ke dunia dasar laut pada kedalaman lebih empat meter.

Hasil pemerhatian terhadap terumbu karang di pulau-pulau yang menjadi tumpuan pelancong, jujurnya ia agak mendukacitakan.

Terumbu karang yang sepatutnya menawarkan pemandangan indah sebagai perumah dan sumber makanan kepada hidupan di dasar laut seakan tidak bermaya dan ‘cedera’ di sana-sini, umpama menunggu masa menoktah hayatnya.

Penyertaan dalam beberapa program tanggungjawab sosial korporat yang melabuhkan tukun tiruan menggunakan polivinil klorida (PVC) di dasar laut taman-taman laut Malaysia menyedarkan saya mengenai 'kesengsaraan' yang sedang ditanggung alam marin dan ekosistemnya.

Itu kisah di dasar laut

Baru-baru ini, kecoh di laman Facebook Info Warga Hulu Langat tentang longgokan sampah sarap yang ditinggalkan orang awam di Hutan Lipur Ulu Perdik, Hulu Langat selepas mereka puas mengecapi ‘nikmat alam’.

Hantaran tersebut kemudiannya tular sekali gus menimbulkan rasa kecewa dan kemarahan pengguna.

Artikel Berkaitan:

Dalam tempoh 24 jam, kita dikejutkan pula dengan insiden bau busuk di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, Johor Bahru dipercayai berlakunya pembuangan sisa kimia di dalam tali air dan Sungai Tawakal kampung tersebut.

Seramai 102 penduduk daripada 25 keluarga yang tinggal dalam lingkungan satu kilometer dari tali air dan sungai berkenaan terpaksa dipindahkan ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru.

Dua insiden malang ini mencerminkan ‘warna sebenar’ sikap segelintir orang kita terhadap alam sekitar. Sungai tidak lagi dianggap sebagai sumber kehidupan tetapi menjadi tong sampah dan pembuangan sisa-sisa industri.

Hakikatnya, isu pencemaran di negara ini semakin membarah

Teguran seorang tokoh ilmuan, Prof. Dr. Ismail Ibrahim berhubung sikap rakyat negara ini terhadap alam sekitar ada benarnya.

Kata beliau, sikap dan kepekaan terhadap alam serta kebersihan dalam kalangan generasi muda perlu bermula di rumah kerana ia melibatkan jiwa, perasaan, pemikiran dan tindakan.

Beliau turut mempersoalkan berapa banyakkah isi rumah yang menyedia dan melatih anak-anak membuang sampah ke dalam tong sampah, amalan membersihkan bilik mandi, tandas dan rumah?

Jika perkara asas ini tidak dipenuhi, maka bersedialah tabiat buruk membuang sampah di merata-rata tempat ini pasti terbawa-bawa hingga anak-anak jadi dewasa.

Lebih memalukan, ketika para pengkarya Barat bersungguh-sungguh mengangkat tema alam sekitar dalam naskah seni mereka, perlakuan ‘menoda’ alam ini dilakukan sebahagian besarnya oleh umat Islam.

Filem seperti Before The Flood, Chasing Ice, More Than Honey, How to Change the World, Tomorrow dan The True Cost antara dokumentari yang mengangkat kisah benar tentang ‘kesakitan’ yang sedang dideritai Bumi.

Hakikatnya, al-Quran telah mengingatkan kita tentang kesan perbuatan buruk manusia terhadap alam sekitar lebih 1,400 tahun lalu.

Dalam surah ar-Rum, ayat 41 yang bermaksud, "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

Setelah lama terkurung akibat pandemik Covid-19, kita semua mahu kembali ‘mendakap’ alam. Aliran air sungai, deruan ombak yang membadai pantai, unggas rimba yang saling bersahutan dan aroma udara segar di hutan semuanya adalah terapi anugerah Tuhan.

Anugerah ini adalah amanah yang perlu dipulihara kerana kita akan ditanya.

Perlu diingat, kita bukan saja perlu bertanggungjawab atas dosa kepada Tuhan, manusia dan haiwan bahkan kita juga barangkali ada ‘dosa’ pada alam.

* Najibah Hassan ialah Penyunting Sinar Harian