Maik benar solat Jumaat, fardu 40 jemaah

Maik benarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardhu di masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim seluruh negeri kepada 40 orang jemaah yang terdiri daripada kakitangan masjid dan jemaah terpilih. Gambar kecil: Tengku Mohamad Rizam
Maik benarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardhu di masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim seluruh negeri kepada 40 orang jemaah yang terdiri daripada kakitangan masjid dan jemaah terpilih. Gambar kecil: Tengku Mohamad Rizam
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardhu di masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim seluruh negeri kepada 40 orang jemaah yang terdiri daripada kakitangan masjid dan jemaah terpilih.

Yang Dipertua Maik, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, perkara tersebut berkuat kuasa bermula pada 17 September iaitu dalam tempoh Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurutnya, kakitangan masjid dan para jemaah yang hadir wajib menerima dos lengkap suntikan vaksin mengikut syarat yang telah ditetapkan.

“Bagi penerima vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac wajib melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua manakala bagi penerima dos tunggal seperti Johnson & Johnson dan CanSino perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan.

“Kakitangan masjid dan jemaah yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka dan digalakkan memakai dua lapis pelitup muka.

“Sistem pengudaraan juga perlu dilaksanakan sebaik mungkin dengan membuka semua pintu, tingkap dan kipas bagi memastikan sistem pengudaraan yang baik namun pendingin hawa di masjid, surau dan musalla adalah tidak digalakkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, masa aktiviti di dalam masjid, surau dan musalla perlu disingkatkan untuk perkara yang wajib sahaja iaitu sejam sebelum solat Jumaat dan 30 minit bagi solat fardhu.

Selain itu katanya, pengurusan masjid, surau, musalla hendaklah membuat penandaan antara jemaah dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter dan jemaah hendaklah membawa sejadah sendiri yang bersaiz besar iaitu minimum 110cm x 70cm.

Artikel Berkaitan:

“Pergerakan keluar jemaah selepas solat hendaklah dipastikan secara teratur mengikut saf solat dan tidak bersesak-sesak. Tiada perkumpulan dibenarkan selepas selesai aktiviti di masjid.

“Jawatankuasa masjid, surau, musalla perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi setiap masa sama ada semasa memasuki masjid, berada di masjid dan semasa keluar masjid,” katanya.

Sementara itu, melalui kenyataan yang sama, Mohamad Rizam berkata, untuk aktiviti lain seperti kuliah, tadarus dan lain-lain adalah tidak dibenarkan.

“Pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini.

“SOP sebagaimana di atas hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau, musalla. Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini.

“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” ujarnya.