Pencemaran kimia: Lapan direman selama tiga hari

Mohd Famey
Mohd Famey
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lapan individu yang disyaki terbabit dalam insiden pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas di sini direman tiga hari bermula Khamis.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan, Suhaila Shafi’uddin selepas pihaknya membuat permohonan tahanan reman terhadap lapan individu berkenaan.

Beliau berkata, seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

"Lapan suspek termasuk pemilik premis yang disyaki terbabit dalam insiden itu direman bermula hari ini sehingga Sabtu.

"Ia bagi membantu JAS merakamkan keterangan kesemua suspek bagi melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Pada Rabu, empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas di sini pengsan, manakala kira-kira 102 penduduk terpaksa dipindahkan berikutan bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung tersebut.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Selasa itu, empat penduduk itu terpaksa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang melawat kampung terbabit pada petang Rabu dilaporkan berkata, sembilan suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Ia membabitkan lima warga tempatan serta empat warga asing termasuk pemilik premis.