Wilayah Persekutuan tambah kapasiti solat Jumaat, fardu

Mohd Ajib
Mohd Ajib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kapasiti jemaah bagi solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan sehingga 500 orang berkuat kuasa 17 September.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ketetapan baharu itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras dengan peralihan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurutnya, bilangan jemaah di tujuh masjid zon dan masjid kariah dibenarkan seramai 250 orang manakala surau Jumaat dibenarkan sehingga 150 orang.

"Bilangan jemaah di surau yang diberi kebenaran khas untuk solat Jumaat turut ditambah kepada 100 orang.

"Surau Jumaat dan surau diberi kebenaran khas untuk diri Jumaat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dibenarkan seramai 80 orang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Selain itu katanya, jemaah solat fardu di Masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan sehingga 200 orang manakala di masjid zon dan masjid kariah dihadkan kepada 100 orang

"Jemaah solat fardu di surau Jumaat dan surau diberi kebenaran khas untuk diri solat Jumaat dibenarkan seramai 50 orang.

"Bagi surau Jumaat dan surau diberi kebenaran solat Jumaat di PPR dan PA Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula dihadkan kepada 40 orang bagi solat fardu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara di Labuan katanya, had jemaah solat Jumaat di semua masjid dan surau dibenarkan sehingga separuh kapasiti sebenar.

"Bilangan jemaah bagi solat fardu di semua masjid dan surau dibenarkan mengikut keluasan dewan solat utama," katanya.

Tambahnya, ketetapan tersebut adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan.