Pengunjung ke Langkawi perlu terus patuhi SOP

Pelancong mula tiba di Lapangan Antarabangsa Langkawi sempena pembukaan Gelembung Pelancongan Langkawi hari ini.
Langkawi mula menerima kedatangan pelancongan hari ini selepas ditutup berikutan pandemik Covid-19. - Foto Bernama
Pelancong mula tiba di Lapangan Antarabangsa Langkawi sempena pembukaan Gelembung Pelancongan Langkawi hari ini.
Langkawi mula menerima kedatangan pelancongan hari ini selepas ditutup berikutan pandemik Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA PERLIS - Orang ramai yang berkunjung ke Langkawi, Kedah dengan menggunakan perkhidmatan feri di Terminal Feri Kuala Perlis diwajibkan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, pihaknya melakukan pengawasan ketat di Terminal Feri Kuala Perlis bagi memastikan bahawa tidak berlaku pelanggaran SOP.

“Daripada pemeriksaan dan pengawasan didapati keadaan di sini (Terminal Feri Kuala Perlis) terkawal dan orang ramai mematuhi peraturan yang telah ditetapkan seperti lengkap menerima dua dos vaksin dan telah menjalani ujian saringan Covid-19 seperti mana ditetapkan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu atau kumpulan yang gagal mematuhi SOP tersebut.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Terminal Feri Kuala Perlis, di sini mendapati orang ramai mula membanjiri kawasan itu seawal 7 pagi bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan ke pulau berkenaan.

Pesara kerajaan, Jamaluddin Ahmad, 69, berkata, langkah kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan menggembirakan semua pihak terutamanya orang ramai yang telah lama tidak dapat bercuti.

Bapa kepada empat anak itu berkata, syarat wajib lengkap dua dos vaksin Covid-19 selain beberapa syarat lain tidak membebankan orang ramai sebaliknya ia merupakan satu langkah positif bagi membendung penularan wabak Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: