X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

'Muafakat Nasional sedang lalui denai sukar, sulit'

Nasrudin Hassan
A
A

SHAH ALAM - Semua pimpinan Muafakat Nasional (MN) diingatkan agar tidak membiarkan semangat penyatuan antara antara kedua-dua parti itu pudar, apatah lagi menyimpan hasrat untuk membubarkannya.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, ini kerana semua pihak harus berpegang kepada penyatuan yang terlakar pada 14 September 2019 lalu antara Pas dan UMNO selepas lebih 60 tahun menjadi seteru.

Jelasnya, kedua-dua parti seharusnya kuat menentang hasutan pihak yang mahukan perpecahan dua kumpulan umat Islam ini.

"Kini setelah dua tahun piagam muafakat dimeterai, MN sedang melalui denai yang sukar dan sulit. Mereka kini sedang diuji dengan kuasa pemerintahan, kedudukan dan pengaruh.

"Pelbagai justifikasi mula dicipta untuk membenarkan sikap masing-masing. Jari jemari dibuka kembali untuk saling menuding. Sudah kelihatan rekahan di sana sini.

"Tentu sahaja fenomena ini membuatkan ejen-ejen perpecahan menari girang. Saya hanya mampu kembali mengingatkan diri dan semua pihak khasnya saf kepimpinan daripada kedua-dua belah pihak bahawa jangan biarkan MN ini retak," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Nasrudin lagi, pimpinan dan ahli parti juga perlu mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Katanya, tulisan atau status di media sosial yang boleh mengundang resah dan kecewa terhadap kedudukan perpaduan umat Islam juga harus dielakkan.

"Bersabarlah atas kepayahan dan kesukaran. Maklumlah kita telah lalui lebih 60 tahun tempoh sengketa. Hanya setahun dua ini mahu disuaikan segalanya, tentu sahaja mengambil masa.

"Justeru, hargai dan akuilah kelebihan rakan sebagaimana kita menerima dan memaafkan kelemahan kita sendiri," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!