Agong zahir penghargaan kepada seluruh warga ATM

Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari ATM ke-88 kepada seluruh warga angkatan tentera termasuk veteran serta semua yang pernah berkhidmat dengan ATM. - Foto FB Istana Negara
Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari ATM ke-88 kepada seluruh warga angkatan tentera termasuk veteran serta semua yang pernah berkhidmat dengan ATM. - Foto FB Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-88 kepada seluruh warga angkatan tentera termasuk veteran serta semua yang pernah berkhidmat dengan ATM.

Selaku pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota ATM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.

"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada para anggota ATM khususnya yang bertugas di barisan hadapan yang telah bertungkus lumus mengorbankan masa dan tenaga dalam membantu kerajaan membendung penularan wabak Covid-19 sejak awal tahun ini," menurut Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi pada Khamis.

Seri Paduka Baginda turut mendoakan agar ATM terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa.

Hari ATM yang disambut pada 16 September setiap tahun akan diraikan secara fizikal di Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 22 September ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: